Berita

ROS panggil Zaid Kamaruddin untuk ‘bantu siasatan’ terhadap Negara-ku

KUALA LUMPUR, 26 OGOS: Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Negara (ROS) memanggil Zaid Kamaruddin, Pengerusi Gerakan Rakyat Untuk Menebus Kembali Negara Malaysia (Negara-ku), ekoran satu aduan yang dibuat terhadap gerakan itu.

Pertemuan tersebut akan diadakan di ibu pejabat ROS di Kementerian Dalam Negeri, Putrajaya, 10 pagi esok.

“Saya dipanggil ROS untuk ‘membantu siasatan’ pada 26 Ogos. Namun kita telah memohon agar siasatan itu ditangguh ke esok,” jelas Zaid.

Arahan tersebut dimaklumkan melalui satu surat bertarikh 20 Ogos 2014 kepada Zaid yang juga merupakan Setiausaha Agung Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM).

Menurut surat itu, Pengarah Bahagian Penguatkuasaan ROS Akmal Yahaya menyatakan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 66 Akta Pertubuhan 1966.

Kegagalan berbuat demikian, Zaid boleh ditahan dalam jagaan dan didenda tidak lebih RM1,000 jika disabitkan seperti yang diperuntukkan Seksyen 66(5) akta tersebut, kata surat itu lagi.

Namun, surat tersebut tidak menyatakan dengan lebih lanjut tentang aduan yang dibuat terhadap Negara-ku.

Gabungan lebih 60 NGO itu ditubuhkan pada 10 Julai lalu dan bertujuan untuk melawan semua jenis diskriminasi dan semangat kebencian yang dilihat semakin berleluasa selepas Pilihanraya Umum ke-13 tahun lalu. – Roketkini.com