Berita

Hanya kerana kritik Umno, Rayer hadapi dua pendakwaan Akta Hasutan

GEORGE TOWN, 27 OGOS: Hanya kerana mengeluarkan kenyataan ‘celaka-celaka Umno’ kepada beberapa pemimpin parti itu yang suka bermain api perkauman, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Seri Delima RSN Rayer menerima dua dakwaan di bawah Akta Hasutan hari ini.

Lebih mengejutkan, salah satu dakwaan itu berhubung kenyataannya ketika sidang DUN Pulau Pinang Mei lalu., sedangkan Adun memiliki kekebalan di sisi undang-undang ketika mengeluarkan kenyataan di dalam dewan.

Untuk pertuduhan pertama, Hakim Mahkamah Sesyen Tuan Zulhazmi Abdullah mendakwa Rayer di bawah Seksyen 4 (1)(b) Akta Hasutan kerana mengeluarkan kenyataan itu ketika sidang DUN 20 Mei lalu.

Manakala pertuduhan kedua menurut Hakim Zanarian Hussain adalah berhubung ucapan Rayer di Jalan Sri Delima, ketika kempen Pilihanraya Kecil (PRK) Bukit Gelugor 22 Mei lalu.

Ketika sesi perbicaraan, peguambela Gobind Singh Deo membantah keras keputusan awal Hakim Tuan Zulhazmi yang menetapkan ikat jamin sehingga RM20,000.

“Apakah peranan sebenar mahkamah apabila Yang Arif membuat keputusan supaya anak guam saya diikat jamin sehingga RM20,000?

“Pada tarikh perbicaraan 16 Jun lalu, dia datang, saya pun datang … hanya kertas tuduhan yang ‘tak datang’,” kata Pengerusi Biro Guaman DAP itu, menurut laporan Buletin Mutiara.

Hakim kemudiannya menetapkan RM3,000 sebagai ikat jamin. Jumlah yang sama turut ditetapkan bagi tuduhan kedua. Rayer mengaku tidak bersalah bagi kedua-duanya.

Perbicaraan bagi kedua-dua kes itu ditetapkan pada 17 Oktober depan.

Isu ini bermula selepas Rayer mengeluarkan kenyataan mengecam tindakan pimpinan Umno yang seringkali mengulang ugutan tragedi 13 Mei.

Kenyataan beliau dijadikan alasan bagi reaksi ganas pemuda Umno yang bertindak liar dengan menceroboh Dewan Undangan Negeri serta mengugut keselamatan Ahli-ahli Dewan dan pegawai bertugas, sehari selepas Rayer mengeluarkan kenyataan itu.

Selain itu, Pemuda Umno juga bertindak merosakkan harta benda dan mengugut untuk membakar ibu pejabat DAP di Kuala Lumpur dan merosakkan pintu utama pejabat DAP Kuantan. – Roketkini.com