Berita

Kem Pendidikan Impian Sarawak sempena cuti sekolah, guru sukarelawan diperlukan

KUCHING, 27 OGOS: Semenjak projek Impian Sarawak yang pertama dilancarkan pada September 2013, pelbagai projek prasarana asas dilaksanakan di pelbagai kawasan pedalaman di Sarawak.

Namun, kali ini Impian Sarawak membuka jalan baru dan mengorak langkah dengan mengumumkan projek bantuan pendidikan dan tuisyen untuk pelajar-pelajar yang tinggal di kawasan pedalaman di Sarawak sempena cuti sekolah akan datang.

Umum mengetahui kemudahan dan prasarana pendidikan di Sarawak sangat daif berbanding di Semenanjung dan jarang sekali para pelajar di kawasan pedalaman berpeluang menyertai kem pendidikan atau program sempena cuti sekolah.

Perangkaan dikeluarkan pelbagai organisasi mendedahkan peluang anak-anak Sarawak di kawasan pedalaman untuk menyertai program pendidikan tambahan seperti rakan sebaya mereka di bandar sangat tipis.

Jurang pendidikan di antara rakyat di bandar dan pedalaman masih jauh dan merunsingkan, manakala prasarana masih di takuk kemunduran.

Justeru itu, guru-guru sukarelawan sangat dialu-alukan untuk menyumbangkan khidmat bakti di Kem Pendidikan Impian Sarawak sempena cuti sekolah bermula 13 hingga 21 September ini.

“Sekiranya anda mempunyai pengalaman sebagai guru atau ingin menjadi salah satu agen ‘Ubah’, sertailah kami sebagai guru sukarelawan dalam projek rintis ini.

“Kem ini akan berlangsung dari 13 September hingga 21 September 2014,” kenyataan Impian Sarawak dipetik.

Kepada mereka yang berminat untuk menyertai Kem Pendidikan Impian Sarawak anda boleh mengisi borang penyertaan di sini: http://bit.ly/14sP4Ax.

Jika ada sebarang pertanyaan, hantarkan soalan anda ke emel : [email protected]. – Roketkini.com