Berita

Pulau Pinang anjur Karnival Hijau Antarabangsa, tingkat kesedaran kelestarian alam

GEORGE TOWN, 27 OGOS: Badan pemikir dasar awam Kerajaan Negeri Pulau Pinang Penang Institute (PI) dan badan organisasi alam sekitar negeri akan menganjurkan Seminar XOX Karnival Hijau Antarabangsa di George Town pada 13 dan 14 September 2014 ini.

Dalam satu kenyataan bersama, Pengarah Eksekutif PI Zairil Khir Johari dan Pengarah Penang Green Council (PGC) Ar Lawrence Lim Hua Kwang berkata, penganjuran seminar itu bertujuan mewujudkan platform melalui aktiviti pendidikan bagi meningkatkan kesedaran rakyat mengenai alam sekitar.

Seminar dengan tema ‘Atasi Perubahan Iklim, Bertindak Sekarang!’ tersebut diadakan Dewan Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) dan Padang Esplanade bermula dari sembilan pagi hingga enam petang.

“Perubahan iklim merupakan satu yang memberi kesan kepada semua lapisan masyarakat, tidak hanya kepada manusia tetapi semua jenis bentuk kehidupan di bumi.

“Dalam dekad kebelakangan ini, pertumbuhan bandar dan industri menyebabkan perubahan drastik kepada persekitaran,” katanya.

Prosiding Akademi Sains Kebangsaan sebelum ini menyatakan, perubahan iklim tidak boleh dikawal disebabkan pengeluaran karbon dioksida dan sekiranya pelepasan gas rumah hijau dihapuskan sepenuhnya, pemanasan tetap berterusan selama berabad-abad.

Prosiding yang bertajuk ‘Earth’s Energy Imbalance: Confirmation and Implication’ itu juga menyebut, bahawa suhu bumi memerlukan 25 hingga 50 tahun untuk mencapai 60 peratus daripada tindak balas keseimbangan.

Sebagai langkah pertama melambatkan perubahan iklim, PI dan PGC telah menjemput sekumpulan penceramah berpengalaman antarabangsa serta tempatan bagi membincangkan mengenai kesan perubahan iklim dari pelbagai sudut pandang.

“Pada hari pertama seminar, topik perbincangan akan dimulakan dengan kesan perubahan iklim ke atas biodiversiti dan sumber diikuti sesi perancangan, pembinaan ke arah bandar-bandar lestari.

“Di hari kedua pula, seminar akan merangkumi perbincangan berhubung tenaga dan sisa yang mempunyai kesan tinggi terhadap perubahan iklim, kerana ia secara tidak langsung melibatkan kesihatan serta keselamatan makanan,” ujarnya

Sempena karnival hijau, Malaysian Green Building Confederation (MGBC) juga akan bekerjasama dengan PGC dalam penganjuran Seminar Hijau Kehidupan Mampan, sehari sebelumnya yang bertempat di Dewan Perbandaran, Padang Kota Lama.

“Untuk kempen publisiti karnival XOX, kami akan menampal pelekat lantai 3D dan iklan lif di Gurney Plaza dengan mesej hijau supaya orang ramai memahami kepentingan alam sekitar.

“Orang ramai juga boleh bergambar bersama pelekat serta iklan tersebut untuk dikongsikan dalam laman Facebook Penang International Green Festival http://www.facebook.com/pgigc dan memenangi hadiah,” katanya. -Roketkini.com