Rencana

Hanya satu nama: Azizah

anakmamidiperantauanTidur malam terbayang
Teringat kamu seorang
Membikin hati pemuda
Menjadi bimbang
Oh Azizah

P. Ramlee, dalam filem pertama arahannya telah pun meletakkan nama Azizah sebagai watak utama pergelutan antara dua darjat. Penarek Becha, diterbitkan Studio Jalan Ampas dua tahun sebelum Merdeka, menceritakan kisah cinta Amran si penarik beca dengan anak Orang Kaya Marzuki.

Nama Azizah kini sekali lagi menjadi watak utama dalam pergelutan Kerajaan Negeri Selangor. Dr Wan Azizah Wan Ismail menjadi satu-satunya calon yang dimajukan kedua-dua DAP dan PKR, setelah Tuanku Sultan Selangor semalam menitahkan supaya parti-parti Pakatan Rakyat mengemukakan calon pengganti Menteri Besar ekoran peletakan jawatan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

DAP dan PKR lewat malam semalam mengemukakan hanya satu nama, meski Tuanku Sultan menitahkan supaya dikemukan ‘lebih dari dua nama’. Alasannya, tahun lepas sewaktu mahu dilantik menteri besar pun Sultan menitahkan supaya diberi lebih banyak pilihan supaya dapat ditentukan layak atau tidak untuk mengepalai negeri terkaya Malaysia itu.

Nama Azizah sejak lebih sebulan lalu telah membuat ramai menjadi bimbang, sesuai dengan syair tulisan P. Ramlee. Bimbang kalau-kalau Pakatan berpecah; bimbang kalau Selangor hilang dari genggaman, bersekalian dengan rizab hampir RM3 bilion; bimbang kalau negeri contoh Pakatan Rakyat akhirnya tersudut menjadi contoh kegagalan, dan bukannya contoh untuk dijadikan kebanggaan.

Azizah sudah ada sokongan majoriti Dewan Negeri Selangor. 30 orang Adun telah menyatakan sokongan untuk melengser Khalid Ibrahim pada 14 Ogos lalu. Membuktikan dengan jelas bahawa Khalid sudah tidak lagi memiliki suara ramai di Dewan.

Undang-undang Tubuh Negeri Selangor meletakkan hanya satu kriteria lantikan: mempunyai sokongan majoriti Dewan. Ini jelas tertulis di Perkara 53 (2)(a). Tiada syarat lelaki atau perempuan, tiada syarat mesti anak Selangor, tiada syarat mesti lahir di Malaysia. Hanya itu sahaja: punya sokongan majoriti.

Dan sokongan majoriti sudah ada di belakang satu nama itu – Azizah. – Roketkini.com