Berita

Orang ramai dipelawa jadi sukarelawan Festival Kluang

KLUANG, 28 OGOS: Pusat Komuniti Parlimen Kluang mengalu-alukan orang ramai terutamanya yang tinggal di daerah ini untuk menyertai kursus percuma sebagai persediaan menjadi sukarelawan jurupandu sempena program Festival Kluang yang akan diadakan di daerah ini.

Pusat Komuniti Parlimen Kluang dalam satu kenyataan memaklumkan, kursus tersebut bertujuan melatih orang ramai yang berminat untuk berkhidmat pada Festival Kluang yang akan diadakan pada 13 hingga 20 September depan.

“Penyertaan penduduk tempatan yang lebih mengenali latar belakang, sejarah, dan tempat menarik di daerah ini akan membantu memberi kefahaman kepada pengunjung dalam pelbagai kegiatan yang diadakan sempena Festival Kluang,” jelas kenyataan tersebut.

Menurut penganjur, sukarelawan jurupandu pelancong akan dibahagikan kepada empat kumpulan iaitu jurupandu bandar yang akan membawa peserta Festival Kluang melawat tempat menarik dan lokasi makanan popular di bandar Kluang.

Tiga pecahan lain dibahagian kepada kumpulan jurupandu jelajah Kampung Baru Yap Tau Sah, jurupandu ‘Little India’ Jalan Stesyen dan jurupandu ‘Kelas Alam Sekitar Gunung Lambak’.

Kursus persediaan sukarelawan Festival Kluang ini akan diadakan selama dua hari, iaitu pada 29 dan 30 Ogos, bermula jam 7 malam dan bertempat di nombor 33, Jalan Tasik 1, Pusat Perniagaan Tasik, Kluang.

Festival Kluang, sebuah program yang julung kalinya diadakan di Kluang, menampilkan pelbagai slot acara yang mampu menggembeling masyarakat majmuk di daerah ini ke arah memupuk semangat kebersamaan dan kejiranan.

Penganjur Pesta Kluang sebelum ini turut mengumumkan penyediaan dana berjumlah RM10,000 terutamanya kepada anak muda dan kelompok kreatif di daerah ini untuk memulakan projek kreatif dan akar umbi.

Sebarang maklumat lanjut berhubung aktiviti Pesta Kluang, digalakkan melayari laman Facebook https://www.facebook.com/kluang2.0komuniti, talian telefon 07-7779758, 014-317 4833, atau 016-718 1758, emel:[email protected] ataupun melawat Pusat Komuniti Kluang. – Roketkini.com