Berita

Merdeka hanya bermakna jika rakyat bebas dari kemiskinan dan belenggu ketakutan

KUALA LUMPUR, 30 OGOS: Sambutan ulang tahun kemerdekaan ke-57 hanya akan memberi makna jika rakyat dapat menikmati kebebasan daripada kemiskinan, rasuah, kejahilan dan belenggu ketakutan, kata Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.

Beliau berkata, ulangtahun kemerdekaan tahun ini dibayangi oleh sikap ekstremisme perkauman, pendakwaan terpilih terhadap pemimpin Pakatan Rakyat, kehilangan pekerjaan bagi 6,000 kakitangan Malaysia Airlines (MAS), kegagalan pelajar cemerlang mendapat tempat di universiti serta kos sara hidup yang meningkat.

“Sementara seluruh rakyat bersatu dalam mengenang mangsa tragedi MH370 dan MH17, pemimpin BN terus meningkatkan tekanan politik. Pemimpin Pakatan menghadapi pendakwaan terpilih dan dwi-piawai dalam undang-undang.”

Beliau merujuk dakwaan di bawah Akta Hasutan terhadap enam wakil rakyat Pakatan tahun ini, iaitu Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok, mendiang Karpal Singh (Bukit Gelugor), N Surendran (Padang Serai), Tian Chua (Batu), Khalid Samad (Shah Alam) dan RSN Rayer (Adun Seri Delima).

“Adakah tindakan tegas dikenakan terhadap mereka yang terlibat dalam demonstrasi ‘senaman punggung’ di rumah (bekas Pengerusi Bersih) Datuk S Ambiga, misalnya? Begitu juga terhadap bekas Ketua Hakim Tun Abdul Hamid Mohamad yang menuduh kerajaan Pulau Pinang anti-Islam,” soalnya lagi.

Apa makna merdeka bagi 6,000 pekerja MAS?

Ketua Menteri Pulau Pinang itu turut mengulas perkembangan yang diumumkan Khazanah Nasional 29 Ogos lalu, berhubung penyingkiran 6,000 kakitangan MAS sebagai sebahagian daripada pakej RM6 bilion bagi menyelamatkan syarikat itu.

“DAP menentang langkah ini. Jika kerajaan akan menghabiskan RM6 bilion wang rakyat bagi menyelamatkan MAS, yang patut dibuang terlebih dahulu adalah syarikat kroni.

“Kini 6,000 kakitangan biasa MAS akan menghadapi ulangtahun merdeka yang suram tanpa pekerjaan dan perlindungan kewangan,” katanya lagi.

Beliau juga menyentuh beberapa kes pelajar cemerlang Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) yang gagal mendapat tempat dalam jurusan perubatan di institut pengajian tinggi tempatan.

Antaranya ialah Ng Yi Ling, yang mendapat keputusan semua A dalam SPM dan STPM, namun gagal mendapat tempat dalam tiga jurusan pilihannya; perubatan pergigian dan farmasi. Beliau sebaliknya ditawarkan dengan jurusan kejururawatan.

“Rakyat inginkan perubahan dan kerajaan yang mendahulukan mereka daripada kroni, serta pengagihan kekayaan negara yang sama rata bagi menghadapi kos sara hidup yang semakin meningkat. – Roketkini.com