Berita

Johor perlu pembangunan seimbang, bukan hanya di Iskandar

KLUANG, 31 OGOS: Pembangunan di Johor perlu seimbang dan holistik melalui perancangan ekonomi secara adil di seluruh kawasan di negeri ini dan bukan hanya tertumpu di Wilayah Pembangunan Iskandar, kata Pengerusi DAP Johor Liew Chin Tong.

Kata Chin Tong pentadbiran Umno-BN tidak menitikberatkan agihan dan peluang saksama berbanding agenda keadilan dan pendemokrasian ekonomi yang dianjurkan Pakatan Rakyat.

Menurut beliau lagi, Johor sebagai sebuah negeri yang luas memerlukan pengangkutan lebih baik dan rantaian komunikasi bagi pembangunan seimbang agar berkembang ke kawasan tengah dan utara Johor secara organik.

“Pembangunan di Johor bukan hanya di wilayah Iskandar, dan pembangunan di kawasan itu bukan hanya berkenaan hartanah. Sedangkan dalam wilayah Iskandar, jurang pembangunan yang semakin ketara turut memerlukan perhatian segera.

“Kerajaan persekutuan dan negeri perlu membina lebih banyak perumahan awam, pusat kesihatan awam, institusi pendidikan dan pengupayaan masyarakat tempatan untuk mewujudkan masyarakat Johor yang adil dan saksama.

“Ini termasuk peluang kerjaya berpendapatan tinggi dan pembangunan teknologi mapan, berganding bahu dalam industri bagi mewujudkan gaji lebih tinggi, berkemahiran dan produktif,” kata Chin Tong dalam perutusan ulangtahun kemerdekaan ke-57 beliau.

Dalam perutusan itu, beliau juga berharap rakyat di negeri ini mengekalkan semangat tinggi ketika menyambut ulangtahun kemerdekaan meskipun negara berhadapan pelbagai malapetaka, termasuk kehilangan pesawat MH370 dan tragedi menimpa pesawat MH17 yang ditembak jatuh di Ukraine.

“Tragedi sedemikian takkan menghalang kita untuk membina Malaysia dan sebuah dunia yang lebih baik,” ujarnya.

Dalam pada itu, Chin Tong berpandangan politik Malaysia kini memasuki fasa ‘tepu’ di mana sokongan kepada Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat merosot, manakala pengundi yang kecewa memilih ‘keluar’ dari wacana politik.

“Pakatan Rakyat perlu mengupayakan semula dirinya kerana rakyat Malaysia menyokongnya sebagai parti pilihan, dan bukan kerana ‘tiada pilihan lain’ kepada Barisan Nasional.

“Agenda Pakatan Rakyat jelas, iaitu menumpukan kepada pendemokrasian, keadilan ekonomi dan berkhidmat kepada seluruh rakyat Malaysia,” tegas Chin Tong. – Roketkini.com