Berita

Kerajaan Pulau Pinang sedia khidmat guaman pertahan anggota PPS

GEORGE TOWN, 31 OGOS: Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan menyediakan khidmat dan pembiayaan guaman untuk mempertahankan mana-mana anggota Pasukan Peronda Sukarela (PPS) yang ditahan secara salah oleh polis.

Ketua Menteri Lim Guan Eng berkata, khidmat tersebut disediakan kepada anggota PPS bukannya atas sebab salah laku jenayah, tetapi kerana menjaga kepentingan orang ramai.

Ini berikutan ancaman Ketua Polis Negara (KPN) Tan Sri Khalid Abu Bakar yang mengatakan bahawa polis akan menangkap ahli-ahli (PPS) sekiranya mereka meneruskan kegiatan mereka.

Dalam laporan Bernama sebelum ini, Khalid mendakwa PPS menyimpang daripada objektif ketika ia ditubuhkan empat tahun lalu untuk berkhidmat kepada masyarakat apabila ia kini bertindak kasar terhadap orang awam dan wartawan.

“Khalid bukan sahaja salah, tetapi berbohong kerana menyatakan bahawa PPS menyimpang daripada objektif asal untuk membantu rakyat dan rondaan untuk melindungi keselamatan awam.

“PPS tidak pernah menyimpang daripada objektif memberi perkhidmatan kepada orang ramai,” kata Guan Eng dalam satu kenyataan.

Pada 19 Ogos lalu, seorang aktivis Ong Eu Soon yang dikatakan sering mengkritik kerajaan Pulau Pinang mendakwa dipukul anggota PPS dalam satu kejadian di Bandar Baru Farlim.

Isu tersebut mendapat liputan media arus perdana selepas disensasikan oleh Naib Presiden Parti Cinta Malaysia (PCM), Datuk Huan Cheng Guan.

Justeru kata Guan Eng, Exco Jawatankuasa Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar negeri Phee Boon Poh bertanggungjawab memastikan bahawa mana-mana anggota PPS yang melakukan salah laku dihukum.

“Jika terdapat sebarang kejadian jenayah yang melibatkan anggota PPS, kerajaan negeri Pulau Pinang akan bekerjasama sepenuhnya dengan pihak polis untuk mengambil tindakan,” tegas Guan Eng.

Tambahnya, kerajaan Pulau Pinang berulangkali menjelaskan bahawa PPS tidak didaftarkan sebagai pertubuhan di bawah Seksyen 41 Akta Pertubuhan, tetapi oleh kerajaan negeri.

Beliau turut mempersoalkan mengapa tiada tindakan diambil terhadap PPS ketika ia ditubuhkan empat tahun lalu dan juga kerjasama yang dijalinkan pihak polis Pulau Pinang.

Katanya lagi PPS berfungsi sama seperti Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) yang ditubuhkan kerajaan negeri dan JKKK (Persekutuan) yang ditubuhkan oleh kerajaan Pusat melalui Kementerian Luar Bandar dan Wilayah.

“Jika JKKK dan JKKK (P) tak salah, kenapa ada pilih kasih oleh Ketua Polis Negara untuk mengisytiharkan PPS yang ditubuhkan oleh kerajaan Pulau Pinang sebagai tidak sah?

“Mengapa seluruh 10,000 anggota PPS dihukum hanya kerana perbuatan salah seorang anggota PPS?” soal Guan Eng.

“Jika demikan, apakah KPN boleh menjawab bahawa 120,000 polis terpaksa dihukum hanya kerana perbuatan jenayah beberapa anggota polis yang melakukan jenayah, memukul orang sehingga menyebabkan kematian sama ada dalam lokap atau semasa soal siasat?

“Biarkan seluruh dunia melihat polis Malaysia menangkap orang yang bukan penjenayah, tetapi ahli-ahli PPS yang melakukan kebaikan,” kata Guan Eng. – Roketkini.com.