Berita

Halang upacara Batu Sumpah Keningau kerana kehadiran Lim Kit Siang?

KENINGAU, 1 SEPT: Upacara tahunan Batu Sumpah yang kebiasaannya diadakan di Pejabat Daerah Keningau pada setiap 31 Ogos dibatalkan oleh kerajaan negeri Sabah, dipercayai kerana kehadiran Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang.

Kelulusan oleh Pejabat Daerah Keningau pada 27 Ogos lalu kepada Jaringan Orang Asal Sabah (JOAS), NGO orang Asal dan anak negeri ini untuk mengadakan upacara Batu Sumpah Keningau ditarik balik tanpa sebab, menurut Kit Siang dalam satu kenyataan.

“Ini perkara yang luar biasa kerana sebelum ini kebenaran diberikan untuk menjalankan upacara Batu Sumpah, namun ditarik semula selepas pihak berkuasa mengetahui bahawa saya akan hadir.

“Saya berbesar hati dengan perhatian tersebut, tetapi kesal kerana seolah-olah saya menjadi punca upacara tahunan bagi Batu Sumpah tidak dapat dilakukan di tempat yang betul,” kata Kit Siang.

Beliau yang kini dalam rangka lawatan kerja ke Sabah sempena sambutan ulang tahun kemerdekaan Malaysia dan pelancaran Kempen Kesedaran Batu Sumpah berkata, pintu pagar Pejabat Daerah Keningau dikunci, menghalang orang awam untuk menjalankan upacara tahunan Batu Sumpah.

Namun kata Kit Siang, ada rahmat disebalik larangan tersebut kerana NGO Orang Asal menemui jawapan kreatif dengan menghasilkan replika Batu Sumpah dalam tempoh 24 jam dengan tiga inskripsi supaya upacara tetap dijalankan walaupun hanya di luar kawasan Pejabat Daerah Keningau.

Menurutnya, hasil perbincangan dengan NGO dan golongan tua masyarakat orang Asal, upacara Batu Sumpah tetap disambut di perkarangan Pejabat Daerah Keningau pagi ini.

Malah kata Kit Siang larangan tersebut kemudiannya menimbulkan satu lagi idea bagi Kempen Kesedaran Batu Sumpah, iaitu dengan membina replika Batu Sumpah Keningau untuk diletakkan di setiap kampung di Sabah, dijangka menjadi kaedah paling berkesan untuk menyebarkan Kempen Kesedaran Kempen Batu Sumpah Keningau.

“Terima kasih banyak’ kepada mereka yang bertanggungjawab atas keputusan tidak adil kerana mengunci perkarangan Pejabat Daerah Keningau untuk menghalang orang awam ke Batu Sumpah,” kata Kit Siang.

Menurutnya, sekiranya pihak berkuasa Sabah merasakan tindakan tersebut boleh mensabotaj upacara tahunan Batu Sumpah Keningau, sebaliknya halangan tersebut mencetuskan idea baru untuk menyebarluas kempen kesedaran Batu Sumpah Keningau.

Tiga perkara yang terukir pada Batu Sumpah ialah ‘Ugama Bebas dalam Sabah’, tanah dalam Sabah dikuasai Kerajaan Sabah’, dan Adat Istiadat anak rayat Sabah dihormatkan dan dipelihara oleh Kerajaan’.

Sementara itu, Pengerusi Kempen Kesedaran Batu Sumpah DAP Peter Saili memaklumkan dua Deklarasi Keningau turut dikeluarkan oleh NGO Orang Asal di Batu Sumpah dan Gerakan Kesedaran Batu Sumpah DAP.

Deklarasi Keningau NGO Orang Asal menambah tiga tuntutan asas di Batu Sumpah kepada tujuh, iaitu ‘Kelestarian Alam Sekitar’, ‘Pemerintahan Yang Baik’, ‘Kemajuan Ekonomi dan Integriti Pendidikan’.

Manakala Deklarasi DAP Keningau menggesa satu Suruhanjaya Siasatan Diraja untuk menilai semula sama ada impian dan aspirasi rakyat Sabah dan Sarawak dalam membentuk Malaysia telah dipenuhi atau dikhianati dalam tempoh lima dekad yang lalu. – Roketkini.com