Berita

Jagdeep, Chong Eng ganti Phee urus kepulangan abu mangsa MH17

GEORGE TOWN, 1 SEPT: Tugas menyambut ketibaan abu jenazah anak negeri Pulau Pinang yang terkorban dalam tragedi MH17 diserahkan kepada Exco Pulau Pinang Jagdeep Singh Deo dan Chong Eng.

Ini berikutan penahanan Phee Boon Poh, Exco Jawatankuasa Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam berhubung isu Pasukan Peronda Sukarela (PPS).

“Phee pada awalnya diberi tanggungjawab untuk menguruskan hal itu. Beliau sangat mengambil berat tentang tanggungjawab tersebut. Walapun ditahan semalam, beliau kerap berhubung dengan Exco lain berkaitan perkara itu,” kata Ketua Menteri Lim Guan Eng dalam satu kenyataan.

“Oleh kerana beliau masih dilokap hari ini, kerajaan negeri melantik Jagdeep Singh Deo (Exco Perumahan dan Perancangan bandar dan Desa) dan Chong Eng (Exco Belia dan Sukan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti dan Kesenian) untuk mengambil alih urusan tersebut,” kata Guan eng.

Phee ditahan di lokap Balai Polis Datuk Keramat semalam, sebelum dipindahkan semula ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut di Jalan Patani.

Guan Eng memaklumkan, Jagdeep akan mengendalikan urusan abu mendiang pramugara Sanjid Singh Sandhu, manakala Chong Eng membantu keluarga mendiang Loh Yan Hwa dan seorang lagi mangsa.

Abu mendiang Sanjid Singh Sadhu akan tiba di padang SMK Machang Bubok, Bukit Mertajam pada jam 1.30 tengah hari manakala abu mendiang Loh Yon Hwa pula akan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang, Bayan Lepas pada 10.15 pagi.

Pimpinan tertinggi negeri akan berada di kedua-dua lokasi untuk bersama-sama anggota keluarga mangsa menyambut kepulangan tersebut. – Roketkini.com