Berita

Kit Siang cadang tubuh RCI, kaji komitmen Pusat terhadap Sabah dan Sarawak

KENINGAU, 1 SEPT: Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang menyeru ahli-ahli parlimen Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat di Sabah, Sarawak atau Semenanjung Malaysia untuk menyokong pembentukan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menilai aspirasi rakyat Sabah dan Sarawak dalam tempoh lima dekad,

Kit Siang berkata, RCI tersebut bertujuan untuk mengkaji sama ada sumpah kesetiaan rakyat Sabah dan Sarawak sepanjang lima dekad lalu sebagai syarat sokongan pembentukan Malaysia telah dilaksanakan oleh kerajaan Persekutuan.

Berdasarkan semangat tersebut kata Kit Siang, Kempen Batu Sumpah Keningau yang dilancarkan 31 Ogos lalu bertujuan membawa kesedaran yang tinggi tentang hak dan harapan rakyat Sabah dan Sarawak ketika Malaysia dibentuk 51 tahun yang lalu.

“Batu Sumpah Keningau masih menjadi isu yang hidup, seiring peredaran zaman yang sentiasa menjadi aspirasi dan tumpuan rakyat Sabah.

“Sokongan untuk sebuah Suruhanjaya Siasatan Diraja adalah bagi menilai sama ada impian dan aspirasi rakyat Sabah (dan Sarawak) dalam membentuk Malaysia telah dipenuhi atau dikhianati dalam tempoh lima dekad,” katanya dalam satu kenyataan.

Kit Siang turut memetik kata-kata penulis terkenal Republick Czech, Milan Kundera bahawa ‘perjuangan manusia menentang kekuasaan adalah perjuangan melawan lupa’ menjadi pedoman untuk DAP melancarkan Kempen Kesedaran Batu Sumpah.

Beliau turut mengingatkan bahawa anak muda di Sabah agar tidak melupakan tiga dokumen dan peristiwa paling bersejarah di Sabah dalam tempoh lima dekad iaitu 20 Perkara dan Batu Sumpah Keningau selain tragedi ‘666’ iaitu nahas kapal terbang yang berlaku pada pada 6 Jun 1976 melibatkan enam pemimpin Sabah.

Antara yang terkorban dalam insiden tersebut ialah Ketua Menteri Sabah, Tun Mohd Fuad Stephens, Menteri Kerajaan Tempatan Negeri, Datuk Peter Mojuntin, Menteri Perhubungan dan Kerja Raya, Datuk Chong Tahin Vun, Menteri Kewangan Negeri, Datuk Salleh Sulong dan Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri Sabah, Dr Syed Hussein Wafa.

Manakala peristiwa ketiga ialah isu jutaan pendatang haram diberikan status kerakyatan yang menyalahi undang-undang dan perlembagaan melalui cara haram seperti ‘Projek Mahathir’ sehingga menggugat kestabilan Sabah dan keselamatan Malaysia.

Sementara itu itu kata Kit Siang, kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengambil masa terlalu lama untuk mengeluarkan laporan RCI mengenai isu Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) di Sabah.

“Suruhanjaya Cobbold mengenai pembentukan Malaysia hanya mengambil masa kurang dari tujuh bulan untuk menerbitkan laporan pertamanya pada Januari 1962, berbanding RCI Pendatang Tanpa Izin di Sabah yang mengambil masa lebih dua setengah tahun semenjak penubuhannya oleh kerajaan pada Februari 2012

“(Sehingga kini) laporannya masih tidak didedahkan kepada umum. Adakah terdapat sebab tertentu mengapa Laporan RCI tidak boleh diterbitkan sebelum Hari Malaysia 16 September ini?, soal Kit Siang.

Justeru, Kit Siang mengumumkan satu kempen tandatangan besar-besaran bagi mendesak penerbitan segera RCI mengenai Pendatang Tanpa Izin di Sabah diketuai oleh Setiausaha DAP negeri Dr Edwin Bosi. – Roketkini.com