Berita

MB Selangor: Wanita Pakatan Rakyat sebulat suara sokong Wan Azizah

KUALA LUMPUR, 1 SEPT: Wanita Pakatan Rakyat menyatakan sokongan tidak berbelah bahagi kepada Presiden PKR Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail untuk dicalonkan sebagai Menteri Besar Selangor yang baru.

Sokongan itu dinyatakan Ketua Wanita DAP Chong Eng, Ketua Wanita PKR Zuraida Kamaruddin dan juga Ketua Dewan Muslimat PAS Siti Zailah Mohd Yusoff dalam satu kenyataan bersama sempena sambutan ulang tahun kemerdekaan ke-57.

Sokongan Siti Zailah adalah satu kejutan, memandangkan PAS sebelum ini turut mencadangkan nama kedua, Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali, yang kemudiannya menolak kerana berpegang kepada keputusan majlis pimpinan pusat PKR untuk kekal dengan satu nama.

“Hari ini (31 Ogos) wanita Pakatan bersatu dalam menyatakan sokongan tidak berbelah bahagi kepada Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail. Kami bersama-sama untuk mengesahkan pendirian kami, bahawa beliau seharusnya dilantik sebagai Menteri Besar.

“Apabila perlembagaan negeri sendiri tidak menyokong diskriminasi gender, jelas bahawa wanita boleh mengetuai negeri,” kata mereka.

Mengulas lanjut kata mereka, masalah pelantikan tidak akan timbul jika Wan Azizah adalah seorang lelaki, memandangkan beliau sudah pun memiliki sokongan majoriti 30 daripada 43 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Selangor.

“Kenapa ada penentangan yang begitu mengganggu terhadap wanita sebagai Menteri Besar?” soal mereka.

Kata mereka lagi, kepimpinan tokoh wanita yang mesra dipanggil ‘Kak Wan’ itu sudah pun terbukti apabila mengepalai gerakan Reformasi pada tahun 1999 dan menjadi Presiden PKR sehingga kini.

“Beliau adalah wanita kedua dalam sejarah Malaysia yang mengetuai parti politik, selepas Ganga Nayar yang menubuhkan Parti Pekerja-Pekerja Malaysia pada tahun 1978.

“Kak Wan juga mendapat sokongan sebulat suara untuk menjadi Ketua Pembangkang di Parlimen selepas Pilihanraya Umum (PRU) 2008,” kata mereka lagi.

Keteguhan Wan Azizah kata mereka, terbukti apabila tidak pernah mengundur dalam perjuangan walaupun terpaksa menghadapi serangan BN tanpa henti selama 16 tahun.

“Itu adalah kayu ukur sebenar bagi seorang pemimpin. Kak Wan adalah pemimpin contoh dalam politik Malaysia, sebaris dengan tokoh-tokoh wanita lain.

“Beliau miliki kesedaran dan hati nurani yang diperlukan negara, dan Selangor khususnya,” tegas kenytaan tersebut. – Roketkini.com