Berita

PPS: ‘Kita takkan tunduk, kerana kita benar’ – Guan Eng

GEORGE TOWN, 1 SEPT: Kerajaan Pulau Pinang sama sekali tidak akan tunduk kepada tekanan Ketua Polis Negara (KPN) Tan Sri Khalid Abu Bakar, yang seperti bertegas ingin memerangi Pasukan Peronda Sukarela (PPS).

“Kerajaan Negeri tidak akan tunduk sama sekali dengan ugutan KPN.

“Kita berani bukan kerana kita kuat. (Malah) kita lemah. Saya tahu beliau berani kerana ada kekuatan – 120,000 anggota polis. Untuk itu, saya ucap syabas kepada beliau.

“Walau pun kerajaan negeri tiada kekuatan seperti beliau, kita tidak akan tunduk kerana satu nilai, iaitu kebenaran,” kata Ketua Menteri Lim Guan Eng ketika ditemui wartawan di luar Ibu Pejabat Polis Timur Laut di sini, pagi tadi.

Selepas penahanan 154 anggota PPS yang menyertai perarakan sempena ulang tahun kemerdekaan, polis bertindak menahan Exco bertanggungjawab terhadap pasukan itu, Phee Boon Poh.

Phee disoal siasat selama empat jam, malah turut ditahan di dalam lokap.

Guan Eng terpaksa berada di Ibu Pejabat Polis sehingga jam tiga pagi semalam, bagi merayu pelepasan tujuh wanita dan 13 anggota PPS yang berusia lebih 60 tahun. Seramai tiga anggota lagi dihantar ke hospital ekoran masalah kesihatan.

“Mereka tidak lakukan sebarang kesalahan,” katanya yang jelas kecewa dengan apa yang berlaku.

‘Giliran saya bila?’

Guan Eng turut bertanya sama ada beliau akan turut ditangkap berikutan kenyataan Khalid sebelum ini yang memberi amaran akan menyerbu kediaman anggota PPS jika tidak ingin menyerahkan diri.

“Bila pula giliran saya untuk ditangkap? Saya tunggu beliau,” kata Guan Eng lagi. – Roketkini.com

Setiausaha Agung DAP itu turut mencabar Khalid agar berdebat dengannya secara terbuka, jika benar-benar yakin dengan tindakannya ‘memerangi’ PPS.

“Kalau beliau rasa berada di pihak yang benar, saya cabar mari kita buat perbahasan terbuka,” ujarnya. – Roketkini.com