Berita

KPN diberi tujuh hari sahut cabaran debat dengan Guan Eng

GEORGE TOWN, 2 SEPTEMBER: Pimpinan DAP Pulau Pinang memberi tempoh tujuh hari kepada Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar untuk menyahut cabaran Ketua Menteri Lim Guan Eng berbahas berhubung isu pertubuhan Pasukan Peronda Sukarela (PPS).

Ahli Parlimen Bukit Bendera Zairil Khir Johari, Steven Sim Chee Keong (Bukit Mertajam), Kasthuri Patto (Batu Kawan), Jeff Ooi (Jelutong), Ng Wei Aik (tanjong) dan Adun Air Itam Wong Hon Wai dalam kenyataan bersama berkata, cabaran itu patut diterima KPN jika benar PPS adalah ‘pertubuhan haram’ dan ‘samseng’ seperti didakwa.

“KPN diberikan tempoh tujuh hari untuk menyahut cabaran Ketua Menteri berbahas di pentas terbuka bagi menghalusi landasan undang-undang dan kesahihan pendapat yang menyatakan PPS itu haram dan samseng.

“Kami bersedia mempelawa pakar-pakar perundangan, termasuk mantan Pengerusi Majlis Peguam sebagai pengerusi perbahasan,” kata mereka.

Wakil rakyat DAP Pulau Pinang itu turut mengecam keras tindakan KPN yang menyalahguna kuasa dengan menangkap 156 anggota PPS selepas pertubuhan itu menghadiri perarakan Hari Kemerdekaan di Padang Kota Lama.

Tegas mereka, penangkapan besar-besaran termasuk menahan Exco Kebajikan Masyarakat Alam Sekitar, Phee Boon Poh dan Adun Seri Delima RSN Rayer bukan saja tidak menghormati Hari Kemerdekaan, tapi telah mencemar kemuliaannya.

“Ini merupakan julung kali polis melakukan tangkapan besar-besaran pada Hari Kemerdekaan ketika rakyat turut melaungkan hasrat masing-masing untuk negara yang aman, damai, makmur dan adil.

“Dengan itu polis telah mencemar dan menghancur kemuliaan dan kedaulatan 31 Ogos Hari Kemerdekaan. Peristiwa ini harus dicatat dalam sejarah Malaysia sebagai ‘Ops Merdeka Hitam,” ujar mereka.

Dalam pada itu mereka menyelar KPN yang sehingga kini masih gagal membuat tangkapan ke atas pihak yang melontar bom petrol ke kediaman rasmi Ketua Menteri pada malam menjelang 31 Ogos 2014.

“Sudah 48 jam insiden berlaku, KPN masih gagal dalam tugasnya menangkap dan menghukum penjahat yang bertujuan mengancam, mengugut dan mencederakan orang awam, apatah lagi berlaku ke atas ketua kerajaan,” kenyataan tersebut dipetik. -Roketkini.com