Berita

Jika Najib berpegang pada janji, mansuh Akta Hasutan sekarang

KUALA LUMPUR, 3 SEPTEMBER: Jika benar Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak merupakan seorang pemimpin yang berpegang teguh pada janji, sepatutnya Akta Hasutan telah dimansuhkan.

Naib Pengerusi DAP Kebangsaan Teresa Kok Suh Sim berkata, Najib bertanggungjawab sepenuhnya dan wajar dipersalahkan kerana berterusan menyalahgunakan akta zalim ini.

“Beliau harus menunjukkan keikhlasan dan komitmen kepada janjinya pada tahun 2012 untuk memansuhkan akta kuno tersebut, semua tuduhan juga harus ditarik balik,” katanya dalam satu kenyataan.

Najib pada Julai 2012 mengumumkan bahawa Akta Hasutan 1948 akan dimansuhkan dan diganti dengan Akta Keharmonian Nasional.

Dalam satu majlis makan malam anjuran Jabatan Peguam Negara di Pusat Konvesyen Kuala Lumpur tidak lama selepas pengumuman pemansuhan Akta Hasutan, Najib berkata dengan akta baru, Malaysia akan lebih bersedia menguruskan kesilapan negara.

Malah katanya undang-undang baru yang menggantikan Akta Hasutan akan mengukuh dan melindungi perpaduan negara serta memupuk keharmonian antara agama.

Tegas Teresa, biarpun kerajaan sekali lagi mengulangi janji menggantikan Akta Hasutan baru-baru ini, namun sehingga kini ia tidak terlaksana.

“Ketiadaan undang-undang baru tidak seharusnya menjadi alasan untuk menggunakan Akta Hasutan,” tegas Teresa.

Dalam pada itu Teresa yang juga Ahli Parlimen Seputeh menyelar tindakan terbaru kerajaan mendakwa pensyarah undang-undang Profesor Madya Dr Azmi Sharom berikutan artikelnya mengenai krisis perlembagaan Perak.

Beliau mempersoalkan kemanakah satu lagi janji Najib untuk menjadikan Malaysia sebagai negara demokrasi terbaik di dunia jika perbezaan pendapat langsung tidak diterima.

“Adakah Malaysia akan menghadapi zaman gelap politik yang lebih teruk dari pemerintahan Dr Mahathir?,” soalnya. – Roketkini.com