Berita

Pendakwaan Prof Azmi serangan langsung terhadap kebebasan akademik – Kian Ming

KUALA LUMPUR, 3 SEPT – Pendakwaan terhadap pensyarah undang-undang Universiti Malaya Profesor Madya Dr Azmi Sharom bukan sahaja tidak munasabah, malah ia juga boleh dianggap sebagai serangan langsung terhadap kebebasan akademik.

Tindakan membisukan ahli akademik daripada memberikan pendapat terhadap isu-isu kontroversi dalam negara adalah tindakan bacul dan sewajarnya dikecam oleh semua pihak.

Demikian kata Ahli Parlimen Serdang Dr Ong Kian Ming mengulas pendakwaan terhadap Azmi di bawah Akta Hasutan semalam lantaran komentarnya terhadap pergolakan politik di Selangor, berdasarkan pemerhatiannya ke atas konflik perlembagaan di Perak pada tahun 2009.

Malah kata Dr Ong, lebih banyak lagi kritikan hebat terhadap keputusan mahkamah berkenaan isu pertukaran kerajaan di Perak telah dibuat oleh peguam, hakim dan bekas-bekas hakim serta profesor undang-undang.

“Prof Azmi sekadar memberi pandangan akademiknya tentang apa yang terjadi di Perak pada tahun 2009 yang mengakibatkan jatuhnya kerajaan Pakatan Rakyat pada waktu itu.”

“Ada banyak kenyataan yang lebih keras dibuat oleh ahli-ahli akademik lain, peguam dan bekas hakim mengenai episod Perak itu,” ujar Dr Ong dalam kenyataan bertulisnya, memetik beberapa komentar ahli-ahli akademik seperti Profesor Andrew Harding, Profesor Emeritus Shad Saleem Faruqi, Profesor Kevin YL dan bekas hakim Mahkamah Rayuan NH Chan.

“Peguam, hakim, bekas hakim dan profesor undang-undang boleh dan akan mempunyai pendapat-pendapat yang kuat terhadap isu perlembagaan yang bersifat kontroversi seperti yang terjadi di Perak pada Februari 2009,” tambah Dr Ong lagi.

Azmi didakwa di bawah Seksyen 4(1)(b) dan (c) Akta Hasutan 1948 berikutan komennya yang dilaporkan Malay Mail Online. Beliau dilaporkan berkata bahawa apa yang telah terjadi di Perak adalah salah dari segi undang-undang.

Beliau menjadi mangsa terbaru Akta Hasutan yang akhir-akhir ini digunakan secara meluas untuk mendakwa ramai pemimpin Pakatan Rakyat dan organisasi masyarakat. – Roketkini.com