Berita

Setelah ahli akademik, media jadi sasaran Akta Hasutan

GEORGE TOWN, 3 SEPT: “Saya jalankan tugas dengan betul sebagai wartawan,” kata Susan Loone, wartawan Malaysiakini yang kini menjadi mangsa terbaru Akta Hasutan 1948 ekoran laporannya berhubung isu Pasukan Peronda Sukarela (PPS).

Beliau berkata, situasi tersebut tidak seharusnya berlaku memandangkan beliau hanya membuat laporan berdasarkan temubualnya dengan Exco kerajaan negeri dan juga Pengerusi PPS Phee Boon Poh.

“Saya telefon YB Phee (dan tulis berita berdasarkan perbualan). Ia bukan pandangan saya,” katanya ketika dihubungi Roketkini.

Beliau turut mengucapkan penghargaan kepada kerajaan Pulau Pinang di atas kesediaan membantu dari segi nasihat guaman berhubung kes tersebut.

“Terima kasih, namun majikan saya mempertahankan laporan saya. Mereka akan menyediakannya (bantuan guaman),” katanya lagi.

Polis hari ini membuka kertas siasatan terhadap Loone dan Malaysiakini ekoran laporan bertajuk ‘Disoal siasat selama 4 jam, dakwa dilayan seperti ‘penjenayah’’ dua hari lalu yang disifatkan sebagai menghasut.

Walhal dalam laporan itu, Phee turut memuji anggota polis yang menyoal siasatnya kerana memberi layanan yang cukup baik.

Hari ini, Ketua Polis Daerah Timur Laut Penolong Pesuruhjaya Mior Faridalatrash Wahid memaklumkan Phee juga akan disiasat di bawah akta sama berhubung laporan itu.

Apa justifikasi moral Akta Hasutan?

Dalam pada itu, Ketua Pemuda DAP Bukit Bendera Mohd Hariszuan Jaharudin menempelak penggunaan akta lapuk itu yang dilihat semakin tidak terkawal.

haris

“Ia bermula dengan ahli politik, ahli akademik, dan kini kepada pengamal media pula. Ini jelas untuk menakutkan orang ramai.

Selepas sejumlah ahli politik Pakatan Rakyat, polis dilihat mula meluaskan cakupan akta lapuk itu terhadap ahli akademik dan pengamal media, dimulakan dengan pensyarah undang-undang Profesor Madya Dr Azmi Sharom dan Loone.

“Sedangkan pada masa sama, tiada tindakan yang dikenakan kepada pihak yang mengeluarkan kenyataan yang lebih melampau – kenyataan ‘Selangor Darul Babi’ oleh (ahli akademik) Redhuan Tee Abdullah, misalnya,” katanya ketika dihubungi.

Beliau juga mempersoalkan kewajaran moral di sebalik siri pendakwaan akta itu yang sedang berlangsung.

“Undang-undang menghukum kes bunuh kerana jelas pembunuhan adalah satu kesalahan. Apa kewajaran moral Akta Hasutan?

“Sehingga kini, tiada takrifan yang jelas berhubung apa yang dikatakan menghasut. Ia terlalu luas, maka senang untuk disalahgunakan,” katanya lagi. – Roketkini.com