Berita

Rakyat mesti bersatu halang era ‘kuku besi baru’ – Kit Siang

KUALA LUMPUR, 4 SEPT: Siri dakwaan terpilih di bawah Akta Hasutan dan tuduhan jenayah yang pada mulanya dikenakan terhadap ahli politik Pakatan Rakyat kini menular kepada ahli akademik dan pengamal media.

Justeru itu, Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang mengajak seluruh rakyat bersama-sama menyelamatkan negara daripada ‘era kuku besi baru’ yang muncul ketika negara baru menyambut ulangtahun kemerdekaan ke-57.

“Siapa menyangka bahawa ulangtahun kemerdekaan tahun ini ditandai dengan serangan ke atas usaha pembinaan negara, demokrasi, kedaulatan undang-undang, kebebasan media dan akademik,” katanya dalam satu kenyataan.

Terbaru, pensyarah undang-undang Universiti Malaya Profesor Madya Dr Azmi Sharom dan wartawan Malaysiakini Susan Loone masing-masing menjadi ahli akademik dan wartawan pertama yang menjadi mangsa dalam ‘operasi’ terbaru ini.

Azmi didakwa di bawah akta itu pada 2 September, manakala Loone akan disoal siasat polis hari ini, berhubung temubualnya dengan Pengerusi Pasukan Peronda Sukarela (PPS) Pulau Pinang pada 1 September lalu.

Menyifatkan apa yang berlaku sebagai wajah hodoh pentadbiran negara, retorik politik perkauman secara melampau semakin kedengaran dan turut melibatkan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Zahid Hamidi.

Zahid mendakwa orang bukan-Melayu semakin angkuh dan menghina orang Melayu, manakala ahli akademik Dr Redhuan Tee Abdullah membangkitkan isu ‘Selangor Darul Babi’.

Redhuan dalam tulisannya di Sinar Harian 18 Ogos lalu mengaitkan usaha Pakatan menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim hanya kerana beliau tidak melaksanakan projek penternakan babi bernilai RM100 juta.

Tidak seperti pemimpin Pakatan, Redhuan sehingga kini belum dikenakan apa-apa tindakan di atas kenyataan melampau itu, serta banyak lagi tohmahannya sebelum ini.

“Siri pendakwaan terbaru ini adalah yang terbanyak dalam beberapa tahun kebelakangan ini dan jelas bertujuan untuk menutup sebarang penentangan terhadap Umno BN.

“Maka, rakyat yang patriotik – tanpa mengira kaum, agama dan pendirian politik, mesti bersatu untuk menyelamatkan negara daripada era ‘kuku besi baru’ Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak di Hari Merdeka pada tahun keenam pentadbirannya,” kata Kit Siang. – Roketkini.com