Berita

DAP tolak cadangan SPR tambah kerusi Parlimen dan DUN Sarawak

KUCHING, 7 SEPTEMBER: DAP Sarawak menolak sepenuhnya cadangan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) yang mahu menambah kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri di negeri itu melalui persempadanan semula kawasan pilihan raya.

Pengerusi DAP Sarawak Chong Chieng Jen berkata, tidak ada keperluan untuk itu dan sebarang penambahan haruslah mendapat kebenaran serta sokongan dua pertiga Ahli Parlimen.

“Kami tidak bersetuju dengan sebarang penambahan, saya pasti PKR dan PAS juga bersetuju (tiada penambahan kerusi).

“SPR tidak mengamalkan prinsip ‘satu orang, satu undi, satu nilai’, jadi penambahanan Parlimen dan DUN di Sarawak atau persempadanan semula adalah tidak perlu sama sekali,” katanya dalam kenyataan.

Chieng Jen yang juga Ahli Parlimen Bandar Kuching berkata demikian merujuk kepada kenyataan SPR Sarawak baru-baru ini yang merancang untuk mewujudkan sembilan kawasan baru di negeri itu.

Ini kerana katanya, sembilan ADUN negeri telah keluar dari Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) untuk menyertai Parti Rakyat Bersatu (UPP) dan Parti Tenaga Rakyat Sarawak (Teras) yang menyokong BN.

Pada 15 Mei lalu, Presiden Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP ) Tan Sri William Mawan Anak Ikom yang juga Ahli Parlimen Saratok meletakkan jawatan pada hari terakhir sidang Dewan Undangan Negeri Sarawak ke-17

Selain William Mawan, turut membuat pengumuman keluar dari SPDP adalah empat ADUN iaitu Datuk Peter Nansian (ADUN Tasik Biru), Datuk Sylvester Entri (Marudi), Paulus Palu Ngumbang (Batu Danau) dan Rosey Yunus (Bekenu).

Turut mengumumkan keputusan meninggalkan parti ialah ahli Parlimen Baram Anyie Ngau.

“Tindakan mereka keluar dari parti adalah kerana tidak diberikan kerusi untuk bertanding pada Pilihan Raya Negeri akan datang memandangkan SUPP dan SPDP menentang kehadiran mereka dalam parti pemerintah,” kata Chong.

Justeru menurut Chong, pewujudan sembilan kerusi itu dikhususkan untuk sembilan wakil rakyat tersebut.

“Dari segi prinsip, cadangan persempadanan semula ini adalah salah kerana menggunakan wang cukai rakyat bagi menyelesaikan pergaduhan dalaman BN,” ujarnya. – Roketkini.com