Berita

Pulau Pinang gerak ‘Mission Home Possible’, satu keluarga satu rumah.

BAGAN, 7 SEPTEMBER: Atas prinsip kesejahteraan rakyat, Kerajaan Pulau Pinang mengisytiharkan penyediaan rumah mampu milik di seluruh kawasan negeri.

Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng berkata, projek rumah mampu milik ‘Mission Home Possible’ itu digerakkan selaras dengan konsep satu keluarga satu rumah.

“Melalui kerjasama dengan Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC), kami merangka usaha menyediakan sebanyak 22,575 perumahan mampu milik untuk golongan berpendapatan sederhana dan rendah,” katanya dalam jelajah ‘Mission Home Possible’ di Butterworth, semalam.

Guan Eng yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Air Putih menyatakan, sebagai permulaan, sebanyak 16, 373 unit rumah akan dibangunkan di Seberang Perai.

“16,373 unit ini merangkumi kawasan seperti Kampung Jawa, Mak Mandin, Ampang Jajar, Bukit Mertajam, Juru dan Bandar Cassia.

“Saya berharap para pembeli yang berminat boleh mengambil kesempatan ini untuk membuat pertanyaan, penyerahan dan mengambil borang pendaftaran perumahan ke Bahagian Perumahan, Tingkat 3 Komtar,” ujarnya.

23 Ogos lalu, Guan Eng turut mengumumkan penetapan had siling harga perumahan mampu milik di bahagian pulau negeri dengan kadar RM200,000, RM300,000 ke bawah dan RM400,000 ke bawah.

Had siling perumahan jenis mampu milik di bahagian Seberang Perai pula adalah pada kadar RM150,000, RM200,000 dan RM250,000 ke bawah.

Beliau turut memaklumkan bahawa Bahagian Perumahan Kerajaan Negeri kini giat mendaftarkan permohonan bagi unit rumah kos rendah, sederhana rendah dan mampu milik di seluruh kawasan negeri.

“Kerajaan Negeri sentiasa prihatin dan mahu membela nasih semua rakyat. Untuk itu kami sedang mengusahakan untuk membina perumahan kos rendah, sederhana dan mampu milik di seluruh Pulau Pinang. -Roketkini.com