Berita

Akta Hasutan: Najib tak berani pertahan pendirian sendiri

KUALA LUMPUR, 8 SEPT: Kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bahawa pemansuhan Akta Hasutan akan ‘dibincangkan semula bersama pihak berkepentingan’ bukti beliau tidak berani mempertahankan pendiriannya sendiri.

Kenyataan itu menunjukkan kelemahan pentadbiran Najib Razak yang tunduk kepada tekanan hanya kerana mahu mempertahankan diri dari serangan pengkritiknya Tun Dr Mahathir terhadao dasar yang dijalankan kerajaan.

“Sebelum pilihan raya umum ke-13 pelbagai janji dibuat kononnya untuk mereformasikan sistem perundangan negara. Tapi nampaknya dia sendiri tak berani untuk mempertahankan pendiriannya.

“Walaupun Najib mendapat mandat, tetapi tak berani bertindak. Najib yang tunduk kepada tekanan. Jelas apa yang berlaku menunjukkan kelemahan kepimpinannya,” kata Setiausaha Organisasi Kebangsaan Anthony Loke Siew Fook kepada Roketkini.com.

Anthony mengulas kenyataan Najib di perhimpunan bulanan Jabatan Perdana Menteri pagi bahawa keputusan sama ada hendak mengekalkan Akta Hasutan 1948 atau memperkenalkan Akta Keharmonian Nasional akan dibuat dengan terbuka tetapi dalam keadaan terkawal.

Kata Najib, kerajaan akan melakukan rundingan dengan semua pihak berkepentingan kerana untuk mengubah atau memperkenalkan sesuatu akta ia mestilah lebih baik daripada akta sedia ada.

Berdasarkan kenyatan tersebut kata Anthony, Najib dilihat cuba mengelak dari bertanggugjawab keatas ikrarnya sendiri yang dibuat pada malam Hari Malaysia pada tahun 2012 lalu, dengan menjadikan tekanan pihak lain keatas pentadbirannya sebagai alasan melambat-lambatkan proses penggubalan Akta Hasutan.

Manakala semalam Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nancy Shukri berkata, Akta Hasutan tidak akan dimansuhkan dalam masa terdekat selagi tiada undang-undang gantian, dan Akta Hasutan perlu dikekalkan untuk menjaga keselamatan, keharmonian dan perpaduan kaum di negara ini.

Sebelum ini Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 atau ringkasnya SOSMA bagi menggantikan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) diluluskan di Dewan Rakyat pada 17 April 2012, diberikan perkenan Diraja pada 18 Jun 2012 dan diwartakan pada 22 Jun 2012.

Sebaliknya, sehingga kini selepas dua tahun pengumuman pemansuhan Akta Hasutan, pewartaan undang-undang baru bagi menggantikannya iaitu Akta Keharmonian Nasional masih belum diusulkan di Dewan Rakyat.

Sehingga hari ini berbelas-belas aktivis , ahli politik dan wakil rakyat Pakatan Rakyat disiasat dan didakwa di bawah akta tersebut.

Terbaru, hukuman penjara 10 bulan ke atas bekas pengerusi Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) Safwan Anang manakala wang jaminan keatasnya dinaikkan daripada RM5,000 kepada RM15,000.

“Selagi Rang Undang-undang Akta Keharmonian yang menggantikan Akta Hasutan masih belum dibentangkan di Dewan Rakyat, pelaksanaan reformasi undang-undang seperti yang dikatakan Najib hanya tinggal janji,” kata Anthony.

“Kita masih tidak nampak sama ada kerajaan serius untuk melakukan pembaharuan. Apa yang dilakukan (oleh kerajaan) hanya pada peringkat permulaan sahaja. Tapi, sehingga kini masih tak nampak komitmen itu,” ujarnya – Roketkini.com