Berita

Purata pendapatan meningkat, tapi jurang kaya-miskin melebar

KUALA LUMPUR, 8 SEPT: Peningkatan purata pendapatan isi rumah ditunjukkan melalui kajian kerajaan tidak memberi makna jika jurang pendapatan miskin-kaya di negara ini masih melebar, kata Ahli Parlimen Kluang Liew Chin Tong.

Beliau mengulas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Wahid Omar yang memaklumkan hasil Tinjauan Pendapatan Isi Rumah 2014 bahawa purata pendapatan isi rumah meningkat kepada RM5,900, berbanding RM5,000 pada 2012.

“Realiti yang dihadapi rakyat berbeza. Walaupun angka meningkat, rakyat tidak merasainya. Buktinya, tentulah tidak ramai yang layak menerima Bantuan Rakyat 1Malaysia sebelum ini.

“Ia menunjukkan hanya pendapatan golongan kaya yang bertambah, manakala yang miskin tidak,” katanya kepada Roketkini.

Setakat 31 Mei lalu, sejumlah 6.8 juta permohonan BR1M diluluskan dengan syarat permohonan adalah pendapatan isi rumah RM4,000 ke bawah (berkeluarga) dan RM2,000 ke bawah (bujang).

Tinjauan itu juga menunjukkan nisbah gaji kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) hanya meningkat 4.3 peratus sejak tahun 2008.

Apa yang penting kata Chin Tong adalah usaha berterusan bagi mengurangkan jurang kekayaan di kalangan golongan kaya dan miskin.

“Perkara yang penting adalah agihan pendapatan yang saksama, seperti yang ditunjukkan dalam ‘indeks Gini’,” katanya lagi.

Indeks Gini adalah ukuran yang menunjukkan pengagihan kekayaan dalam populasi, dengan nilai 0 (kesaksamaan sepenuhnya) hingga 1 (ketaksamaan sepenuhnya).

“Indeks Gini Malaysia adalah antara yang terbesar di Asia, sekitar 0.45. Ini menunjukkan kerajaan tidak menganggap ketaksamaan pendapatan yang kita hadapi sebagai penting,” kata Pengerusi DAP Johor itu lagi.

Memetik laporan The Star pada 3 Ogos 2013, indeks Gini negara setakat tahun 2012 adalah 0.431 – lebih tinggi berbanding negara-negara serantau seperti Thailand (0.4), Indonesia (0.37) dan India (0.33). – Roketkini.com