Berita

Operasi loji rawatan air Batu 9 Cheras dihenti, pengurusan diminta beri penjelasan

KAJANG, 9 SEPT: Pengurusan Loji Rawatan Air (LRA) Batu 11 Cheras diminta memberi penjelasan kepada pengguna berhubung penghentian operasi loji yang dipercayai akibat pencemaran sumber air di Sungai Langat.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri Balakong Ng Tien Chee, penghentian operasi kira-kira jam 11.30 pagi tadi menyebabkan kawasan perumahan di sepanjang Jalan Balakong dari Pekan Batu 11 Cheras, Taman Impian Ehsan hingga ke Kampung Baru Balakong menghadapi gangguan bekalan air.

Kata Ng, beliau dimaklumkan oleh Syabas Hulu Langat bahawa paras ammonia air di ‘intake point’ Sungai Langat mencecah 3.50 ppm dan 1.52 ppm bagi air terawat.

“Menurut piawaian Kementerian Kesihatan, paras ammonia di dalam air terawat tidak boleh melebihi 1.50 ppm. Jangka masa pemulihan bekalan tertakluk kepada tahap penurunan paras ammonia,” kata Ng dalam satu kenyataan.

Justeru Ng menggesa pihak berkuasa seperti Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) memperketatkan kerja pemeriksaan dan penguatkuasaan terhadap aktiviti pencemaran di sepanjang Sungai Langat yang merupakan satu-satunya sumber kepada LRA Batu 11 Cheras.

Dalam pada itu katanya, terdapat beberapa kilang terletak di sepanjang Sungai Langat yang disyaki melakukan aktiviti pencemaran dan aduan telah dipanjangkan kepada jabatan-jabatan berkenaan sejak beberapa bulan lalu.

Difahamkan pihak MPKj dan JAS telah melakukan operasi bersepadu minggu lalu, mengeluarkan notis kompaun dan mengarahkan pemilik kilang membersihkan saki baki buangan selain membaiki tebing sungai yang dirosakkan dalam tempoh dua minggu.

Katanya, pihak berkuasa perlu merancang pelan komprehensif bagi mengatasi masalah pencemaran agar pengguna tidak terjejas dan memastikan tiada percubaan sabotaj daripada mana-mana pihak.

“Memandangkan ia merupakan masalah yang telah lama dihadapi mereka harus menangani masalah ini lebih awal. Ia tidak sepatutnya berulang kerana isu ini bukan isu baru,” ujarnya.