Berita

Pendapatan isi rumah RM5,900, kerajaan mengarut – Steven Sim

BUKIT MERTAJAM, 9 SEPTEMBER: Dakwaan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Wahid Omar bahawa purata isi rumah rakyat Malaysia berjumlah RM5,900 sebulan adalah mengarut dan tidak mewakili pendapatan sebenar warga Malaysia.

Ahli Parlimen DAP Bukit Mertajam Steven Sim Chee Keong berkata, angka tersebut yang diperoleh dari Kajian Pendapatan Isi Rumah (HIS) jelas tidak jujur dalam memberikan gambaran peningkatan kemakmuran kalangan rakyat.

“Kerajaan nampak sedang berbohong dengan dirinya sendiri.

“Melalui tindakan ‘masuk bakul angkat sendiri’ ini, kerajaan juga telah mewujudkan kejayaan palsu dengan mengabaikan keadaan sebenar dan banyak perkara yang masih perlu dilakukan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Wahid semalam dalam sidang medianya di luar acara Simposium Ekonomi Global 2014 menyatakan angka awal HIS 2014 menunjukkan taraf hidup rakyat meningkat, dengan purata pendapatan isi rumah melepas RM5,900 sebulan.

Angka tersebut kata Wahid merupakan pencapaian yang ketara berbanding hasil kajian pada tahun 2012, yang merekodkan purata pendapatan isi rumah RM5,000 sebulan.

Steven menegaskan, angka tersebut tidak masuk akal apabila kerajaan sendiri mengakui 80 peratus isi rumah Malaysia mendapat faedah daripada program Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang memberikan bantuan wang tunai kepada individu berpendapatan kurang RM3,000 sebulan.

Tambah Steven, statistik kerajaan sebelum ini menunjukkan 82.5 peratus rakyat berumur di bawah 30 tahun, berpendapatan kurang daripada RM3,000 sebulan pada September tahun lalu.

40 peratus isu rumah Malaysia berpendapatan RM1,800 sebulan

“Berdasarkan Laporan Penyiasatan Pendapatan Isi Rumah dan Kemudahan Asas (PPIR/KA) tahun 2012, 40 peratus isi rumah di Malaysia hanya mendapat kira-kira RM1,800 sebulan.

“Laporan sama menyebut 50 peratus rakyat Malaysia berpendapatan kurang RM5,000 sebulan, sebenarnya memperoleh pendapatan kurang daripada apa yang dinyatakan,” ujarnya.

Penerima anugerah Young Global Leader 2012 dari World Economic Forum itu memberi amaran, tabiat kerajaan yang sering bermain dengan angka untuk mengalih perhatian mendatangkan kesan buruk kepada negara.

“Tanggungjawab sebenar kerajaan ialah menangani permasalahan seperti kadar pengangguran tinggi di kalangan golongan muda, dari amalan yang tidak adil dalam pasaran kerja kepada diskriminasi gender, kebergantungan tenaga kerja asing kurang mahir dan penghijrahan keluar rakyat berkebolehan,” tegasnya. -Roketkini.com