Berita

Tangguh perjanjian air Selangor hingga kerajaan baru dilantik

KLANG, 9 SEPT – Kerajaan Persekutuan disaran menangguhkan perjanjian penstrukturan semula air Selangor memandangkan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim hanya menteri besar sementara.

Ahli Parlimen Klang Charles Santiago menggesa perjanjian itu ditangguhkan dan hanya disempurnakan apabila kerajaan Selangor yang baru mengangkat sumpah secara rasmi.

Katanya, dalam keadaan kepimpinan kerajaan dalam peralihan, ia menimbulkan persoalan legitimasi terhadap perjanjian bernilai RM9.65 bilion yang dijadualkan akan selesai minggu ini.

“Kerajaan baru mesti dibenarkan menyelesaikan perjanjian akhir tersebut kerana mereka yang akan dipertanggungjawabkan melaksanakan komitmen kewangan dan tugasan lain termasuk cadangan kenaikan tarif dalam tahun-tahun akan datang,” kata Charles

Semalam, Bernama melaporkan kerajaan persekutuan dan Selangor kini dalam perbincangan bagi menentukan perkataan dalam perjanjian berkenaan.
Menurut Charles, perjanjian tersebut perlu ditangguhkan sementara rundingan antara kerajaan persekutuan dengan Splash masih belum selesai.

“Menandatangani perjanjian di tengah-tengah pertukaran pentadbiran mengundang persoalan legitimasi moral dan undang-undang, terutamanya apabila tidak banyak keterbukaan dan ketelusan dalam rundingan tersebut setakat ini.

“Kenapa tergesa-gesa untuk selesaikan perjanjian yang belum lengkap?” soalnya.
Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim telah memohon meletakkan jawatannya, namun Sultan Selangor menangguh menerima perletakan jawatan sementara penggantinya diputuskan.

Khalid sebelum itu dipecat dari Parti Keadilan Rakyat dan kini berfungsi sebagai menteri besar Bebas dengan empat anggota Exco. – Roketkini.com