Berita

Mahasiswa dan pensyarah bersatu ke jalan untuk Azmi Sharom

KUALA LUMPUR, 10 SEPT: Pendakwaan di bawah Akta Hasutan 1948 terhadap Profesor Madya Dr Azmi Sharom berjaya menyatukan suara mahasiswa dan ahli akademik hari ini bagi menuntut keadilan terhadap pensyarah undang-undang Universiti Malaya itu.

Sejumlah 400 mahasiswa dan ahli akademik serta beberapa Ahli Parlimen Pakatan Rakyat berarak daripada Fakulti Undang-undang UM ke Speaker’s Corner sebagai tanda setiakawan kepada Azmi.

“Kita buat kelas secara besar-besaran hari ini!” kata Azmi disambut tepukan gemuruh hadirin, ketika dipanggil untuk memberikan ucapan.

Beliau mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua, terutama kepada Persatuan Mahasiswa UM (PMUM) dan Persatuan Kakitangan Akademik UM (PKAUM) yang menganjurkan himpunan tersebut.

Azmi Sharom

Azmi Sharom

“Saya sangat berbangga melihat anda hari ini…Anda menunjukkan bahawa mahasiswa bukan biri-biri (yang hanya mengikut), tetapi prihatin terhadap isu yang dihadapi negara,” katanya.

Beliau turut mengulas gesaan sesetengah pihak untuk mempertahankan akta tinggalan British itu, malah memperketatkannya dengan memasukkan hukuman mati.

“Susah nak percaya, ada orang nak hukuman gantung sampai mati dalam Akta Hasutan.

“Mereka akan pertahankannya, maka kita perlu terus usaha untuk musnahkannya,” katanya lagi.

Bersihkan nama Karpal Singh

Beliau turut menggesa keadilan diberikan kepada mangsa-mangsa lain yang turut didakwa di bawah akta sama, termasuk pendakwah bebas Wan Ji Wan Hussin yang didakwa pagi tadi serta bekas Pengerusi DAP mendiang Karpal Singh.

“Keadilan juga perlu diberikan kepada Wan Ji, Haris Ibrahim, Ahli Parlimen Teresa Kok, Tian Chua dan Khalid Samad…begitu juga dengan nama baik Karpal Singh (yang perlu dibersihkan),”

Pada 21 Ogos lalu, keluarga Karpal memfailkan petisyen rayuan bagi membersihkan nama ‘Harimau Jelutong’ itu yang dihukum bersalah di bawah Akta Hasutan selepas menyatakan pandangan berhubung rampasan kuasa BN di Perak pada tahun 2009.

Terence Gomez

Terence Gomez

Dalam pada itu, beberapa ahli akademik turut menyampaikan ucapan.

Antaranya pensyarah Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran Terence Gomez yang menyifatkan kebebasan akademik dan bersuara di Malaysia sedang menghadapi ancaman serius.

“Mahasiswa dan pensyarah perlu bersama-sama mempertahankan kebebasan yang kini diancam,” katanya.

Zaharom Nain

Zaharom Nain

Pensyarah Universiti of Nottingham kampus Malaysia Profesor Zaharom Nain pula menggesa agar mahasiswa tidak menjadikan Akta Hasutan sebagai penghalang untuk menyuarakan kebenaran.

“Azmi bukannya memberontak, cuma nyatakan kebenaran. Anda juga tidak boleh takut untuk suarakannya,” katanya lagi. – Roketkini.com