Berita

Polis diminta henti ‘main wayang’, siasat segera punca kematian Beng Hock

SHAH ALAM, 10 SEPT: Teoh Lee Lan, adik mendiang Teoh Beng Hock semalam membuat laporan polis bagi mendesak pihak berkuasa menangkap dan menahan segera individu yang menyebabkan kematian abangnya lima tahun lalu.

Laporan dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam pada jam empat petang, sebagai susulan kepada keputusan Mahkamah Rayuan yang sebulat suara mengenepikan keputusan Mahkamah Koroner dan Mahkamah Tinggi sebelum ini.

Lee Lan berkata, beliau hadir ke balai polis untuk memohon tindakan segera agar keadilan untuk keluarganya dapat dikembalikan.

“Sehubungan keputusan Mahkamah Rayuan, saya memohon pihak polis mempercepat dan menyiasat semula kes kematian Teoh Beng Hock terutamanya terhadap anggota Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang terlibat menyoal siasat beliau.

“Mahkamah Rayuan telah membuat keputusan bahawa Beng Hock mati dalam tahanan tanpa alasan yang munasabah dan terdapat unsur jenayah.

“Leher beliau didapati mempunyai kesan kecederaan. Selepas pemeriksaan, kecederaan itu adalah pelbagai (multiple injuries),” katanya ketika ditemui di depan IPD Shah Alam selepas laporan dibuat.

IMG_9741

Laporan polis ini adalah yang ketiga setakat ini selepas laporan pertama dibuat pada 6 September oleh DAP Perak di IPD Ipoh.

Ahli Parlimen Puchong Gobind Singh Deo dan Adun Kinrara Ng Sze Han membuat laporan kedua di Balai Polis Serdang mendesak supaya pembunuh Beng Hock segera dikenal pasti.

Semalam, Jabatan Peguam Negara menegaskan pihaknya akan mendakwa individu yang menyebabkan kematian Teoh Beng Hock jika terdapat keterangan yang kukuh untuk berbuat demikian.

Kenyataan Jabatan Peguam Negara menyebut, polis akan membentuk satu pasukan khas bagi menjalankan siasatan lanjut.

Jumaat lalu, Mahkamah Rayuan memutuskan kematian Beng Hock disebabkan tindakan menyalahi undang-undang oleh seorang atau beberapa orang yang tidak dikenali.

Panel tiga hakim berkenaan yang diketuai Datuk Mohamad Ariff Md Yusof memerintahkan agar siasatan lebih terperinci dijalankan, tanpa mengecualikan pegawai SPRM. -Roketkini.com