Berita

Salur sekurangnya 50% hasil VEP untuk pembangunan tempatan

JOHOR BAHRU, 10 SEPT: Menteri Besar Johor Datuk Seri Khaled Nordin digesa untuk menyalurkan sekurang-kurangnya 50 hingga 70 peratus hasil kutipan Permit Kemasukan Kenderaan (VEP) untuk pembangunan tempatan.

Ahli Dewan Undangan Negeri Senai Wong Shu Qi berkata, beliau mengalu-alukan kenyataan Khaled yang berjanji untuk menggunakan kutipan VEP bagi memantapkan sistem pengangkutan awam dan membina lebih banyak rumah mampu milik.

“Walaubagaimanapun, pihak kami amat kecewa kerana Datuk Seri Khaled Nordin tidak berani memberi jaminan bahawa sekurang-kurangnya 50 hingga 70 peratus hasil VEP akan disalur kepada kerajaan negeri Johor.

“Sebagai Menteri Besar Johor, beliau seharusnya berjanji bahawa beliau akan memperjuangkan hak anak Johor bersabit perkara ini,” kata Shu Qi adalam satu kenyataan semalam.

Beliau mengulas kenyataan Khalid semalam bahawa kerajaan negeri akan menggunakan hasil VEP untuk meningkatkan taraf kemudahan pengangkutan awam selain membina lebih banyak rumah mampu milik.

Namun, kenyataan tersebut sekadar retorik politik apabila Khaled hanya menyatakan komitmen tanpa tindakan, sedangkan penduduk di daerah ini terutamanya golongan muda dan siswazah telah lama menghadapi masalah untuk memiliki kediaman akibat kenaikan harga rumah.

Tambah Shu Qi pembinaan rumah mampu milik dengan hasil VEP seharusnya dilaksanakan dalam kawasan strategik sekitar 30 minit perjalanan ke Johor Bahru sesuai dengan rancangan pembinaan rangkaian pengangkutan awam yang lebih menyeluruh.

“Pembinaan rumah mampu milik di lokasi yang jauh dari Johor Bahru tidak akan meyelesaikan masalah yang dihadapi oleh anak Johor sekarang,’ ujarnya.

Dalam pada itu Shu Qi turut mencadangkan kepada kerajaan negeri untuk meningkatkan taraf kehidupan rakyat melalui penambahbaikan mutu perkhidmatan pengangkutan awam antaranya termasuk pembukaan tambak Johor untuk laluan pejalan kaki serta pembinaan ‘walkalator’.

Kerajaan negeri turut dicadang melibatkan pengusaha pengangkutan awam untuk menambah bilangan bas menghubungkan kompleks CIQ di Johor Bahru dengan Singapura pada waktu puncak bertujuan mengurangkan lalulintas motorsikal yang sentiasa sesak di Tambak Johor.

Manakala pemegang konsesi Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB) yang mengutip caj tol bertanggungjawab menyediakan bas percuma demi meringankan beban pengguna jalanraya.

“Saya ingin menekankan bahawa MRCB sebagai syarikat konsesi EDL yang mengaut keuntungan tinggi hasil kutipan caj seharusnya meringankan beban kerajaan negeri Johor.

“Kepentingan anak Johor akan terjejas sekiranya VEP dilaksanakan hanya untuk meningkatkan pendapatan kerajaan persekutuan,” tegasnya. – Roketkini.com