Berita

UM wajar jadi contoh universiti lain

KUALA LUMPUR, 10 SEPT: Penolong Setiausaha Publisiti DAP Yeo Bee Yin berkata, perhimpunan aman di Universiti Malaya hari ini perlu dijadikan contoh oleh universiti lain agar berani menyuarakan hak mereka.

Menyifatkan protes tengahari tadi sebagai bermakna dan bersejarah, beliau berharap agar golongan akademik terus berani menyuarakan tuntutan kebebasan akademik dan bersuara.

“Protes di UM ini perlu dijadikan contoh kepada universiti-universiti lain di Malaysia, agar jangan takut bersuara untuk menuntut hak mereka.

“Saya berharap ia tidak akan berakhir di sini, selagi Akta Hasutan tidak dimansuhkan dan kebebasan akademik dan menyatakan pandangan dikembalikan,” katanya ketika ditemui di perhimpunan aman tengahari tadi.

Buat julung kalinya, mahasiswa dan ahli akademik bersatu ke jalanraya bagi membantah pendakwaan di bawah Akta Hasutan ke atas pensyarah undang-undang UM Prof Madya Dr Azmi Sharom.

Isnin lalu, Najib berkata kerajaan akan membuat keputusan sama ada untuk mengekalkan Akta Hasutan 1948, atau menggantikannya dengan Akta Keharmonian Nasional.

Walhal, beliau sebelum ini sudah dua kali berjanji untuk menghapuskan akta yang digubal ketika penjajahan British itu.

“Hari ini jelas tuntutannya adalah untuk menghapuskan akta ini. Bukan menilai semula, ataupun menggantikannya dengan akta lain,” kata Ahli Dewan Undangan Damansara Utama itu lagi.

Pada himpunan tadi, penganjur iaitu Persatuan Mahasiswa UM (PMUM) dan Persatuan Kakitangan Akademik UM (PKAUM) turut menyatakan deklarasi bersama mengisytiharkan ‘mati’nya kebebasan akademik, serta mengutuk pendakwaan yang dikenakan terhadap Azmi.

Deklarasi itu juga menyatakan tuntutan agar kerajaan menggugurkan pendakwaan terhadap Azmi tanpa syarat, serta mengembalikan kebebasan akademik di kampus.

Gobind Singh Deo dan MP Segambut Lim Lip Eng

Gobind Singh Deo dan MP Segambut Lim Lip Eng

Antara pemimpin DAP yang menyertai himpunan itu adalah Naib Presiden Teresa Kok, Ketua Biro Undang-undang Gobind Singh Deo, Ketua Pemuda Teo Kok Seong dan Ahli Parlimen Serdang Ong Kian Ming.

Dalam perkembangan berkaitan, Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail semalam memaklumkan bahawa Pejabat Peguam Negara akan menyemak semula kes di bawah akta itu yang melibatkan banyak individu, termasuk wakil rakyat Pakatan dan juga Azmi.

Namun, seorang lagi individu, iaitu pendakwah bebas Wan Ji Wan Hussin, didakwa di bawah akta itu pagi tadi.

Ketika ditemui di perhimpunan aman tengahari tadi, Azmi enggan mengulas lanjut dan mengambil sikap tunggu dan lihat berhubung kenyataan Abdul Gani.

“Kita tengoklah macam mana nanti,” katanya ringkas. – Roketkini.com