Berita

Akta Hasutan: Najib kata mansuh, KDN tak mahu

KUALA LUMPUR, 11 SEPT: Kenyataan Kementerian Dalam Negeri (KDN) bahawa tiada sebarang usaha untuk memansuhkan Akta Hasutan bercanggah dengan seruan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak enam hari lalu.

Ketua Pemuda DAP (DAPSY) Teo Kok Seong berkata, perkara itu disahkan sendiri oleh Setiausaha Bahagian Keselamatan KDN Datuk Awang Din dalam pertemuan bersama pemuda Pakatan Rakyat, pagi tadi.

“Pagi tadi, saya bersama Ketua Angkatan Muda PKR Nik Nazmi dan Ketua Pemuda PAS Suhaizan Kayat ke pejabat KDN menyerahkan memorandum bantahan berhubung penangkapan dan pendakwaan di bawah Akta Hasutan,” kata Teo kepada Roketkini.

“Memorandum telah diterima oleh Awang Din. Kemudian kami bertanya apakah ada langkah-langkah yang telah diambil KDN untuk memansuhkan akta itu kerana Najib sendiri telah mengulangi bahawa kerajaan akan memansuhkannya.

“Namun, kami agak terkejut dengan jawapan dari Awang Din. Beliau mengatakan setakat ini tidak ada sebarang usaha langsung ke arah pemansuhan dijalankan,” katanya.

Baru-baru ini Najib ketika berucap merasmikan Mesyuarat Umno Bahagian Jerlun di Sekolah Menengah Sains Kubang Pasu 5 September berkata Akta Hasutan akan dimansuh dan digantikan dengan Akta Keharmonian.

Kenyataan Setiausaha Bahagian Keselamatan KDN itu bertentangan dengan dasar kerajaan yang menubuhkan Majlis Konsultatif Perpaduan Negara (MKPN) selepas Pilihanraya Umum ke-13.

MKPN yang dipengerusikan Ahli Parlimen Parit Buntar Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa menjalankan tinjauan dan membincangkan isu-isu perpaduan, integrasi nasional, kesaksamaan dan diskriminasi, serta mekanisme penyelesaian konflik.

Difahamkan dapatan oleh MKPN tersebut akan dibincangkan dan sebuah jawatankuasa parlimen akan diusulkan kepada kabinet untuk membincangkan draf akhir bulan ini sebelum Akta Keharmonian diusulkan di Parlimen.

Justeru itu, kata Teo, pernyataan komitmen Perdana Menteri untuk memansuhkan Akta Hasutan sambil dalam masa yang sama tidak ada sebarang langkah KDN untuk memansuhkan undang-undang tinggalan penjajah itu mengelirukan rakyat Malaysia. – Roketkini.com