Berita

Khalid hanya MB ‘pemangku’, tak layak meterai sebarang perjanjian

KLANG, 11 SEPT: Kedudukan Tan Sri Khalid Ibrahim hanya sebagai pemangku (caretaker) dan beliau tidak sepatutnya menandatangani sebarang kontrak melibatkan aset negeri, kata Ahli Parlimen DAP Charles Santiago .

“Mana-mana pihak ketiga yang memasuki kontrak sebegitu harus sedar kerajaan negeri baru akan dibentuk dan mungkin selepas itu berpendirian bahawa kontrak air tidak mengikut undang-undang.

“Memandangkan isu ini serius, Peguam Negara perlu menasihatkan kerajaan Persekutuan bahawa perjanjian akhir penstrukturan semula air yang dijadual dimuktamad esok, mungkin tidak sah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Charles berkata, Khalid perlu diingatkan dia tidak lagi mendapat sokongan majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri, sekaligus tidak mempunyai kuasa untuk memeterai sebarang perjanjian.

“Selepas beliau meletakkan jawatan pada 26 Ogos walaupun Sultan memintanya untuk kekal sehingga ada pengganti, itu bukan jaminan kepadanya untuk tergesa-gesa menandatangani perjanjian air.

“Statusnya kekal sebagai MB adalah atas perintah Sultan dan ia adalah arahan jelas bahawa Khalid hanya mengisi tempat sedia ada secara sementara.

“Berdasarkan krisis politik Perak pada tahun 2009, penghakiman Mahkamah Persekutuan jelas mengingatkan kita bahawa status MB yang kehilangan sokongan majoriti hilang kelayakan untuk memerintah,” ujar Charles.

Timbalan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Mahdzir Khalid 8 September lalu berkata perjanjian akhir penstrukturan semula air negeri Selangor antara Putrajaya dan negeri itu akan ditandatangani Jumaat ini

Difahamkan kerajaan persekutuan dan Selangor kini dalam perbincangan bagi menentukan perkataan-perkataan dalam perjanjian berkenaan. – Roketkini.com