Berita

Menteri diminta campur tangan, henti pemecatan ahli kesatuan oleh KTM

KUALA LUMPUR, 11 SEPT: Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai diminta campurtangan dan menghentikan segera pemecatan ke atas pegawai-pegawai kesatuan pekerja oleh Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB).

Ahli Parlimen Kluang Liew Chin Tong berkata, langkah itu perlu dibuat bagi menyelamatkan imej KTMB daripada terjejas dan hilang kepercayaan pengguna sehingga akhirnya merugikan wang rakyat.

“Saya menggesa Menteri untuk campurtangan kerana pengerusi bukan-eksekutif KTMB dan Ahli Parlimen Langkawi Datuk Nawawi Ahmad nampaknya telah hilang kawalan ke atas proses membuat keputusan,” kata Chin Tong dalam satu kenyataan.

Minggu lalu, Presiden Kesatuan Sekerja Keretapi Tanah Melayu (RUM) Abdul Razak Md Hassan dan timbalannya R Subramaniam dipecat kerana penglibatan mereka dalam piket pada 9 Mei 2014.

Sementara itu pada 9 September, KTMB memecat lapan lagi ahli kesatuan manakala 110 pekerja lain diberi surat tunjuk sebab.

Dalam beberapa piket sebelum ini antara isu yang dibangkitkan RUM ialah pembaziran oleh Presiden KTMB Datuk Elias Kadir yang mengekalkan khidmat nasihat firma dari India serta kelemahan urus tadbirnya.

“KTMB bukannya milik Presiden yang dilantik, iaitu Elias Kadir, dan pegawai-pegawai kesatuan tidak sepatutnya dikenakan tindakan disiplin hanya kerana menganjurkan piket untuk mendesak pemecatan.

“Memandangkan pengerusi bukan-eksekutif dilantik kerajaan tidak berkesan dalam menyelesaikan krisis, kini adalah masanya untuk Liow campurtangan dengan serta-merta,” tegas Chin Tong. – Roketkini.com