Berita

Pembangunan Pulau Pinang hampir RM2 bilion bagi separuh penggal 2014

GEORGE TOWN, 11 SEPT: Pulau Pinang berjaya menarik pelaburan dalam bentuk pembangunan fizikal berjumlah 160 projek dengan nilai hampir RM 2 bilion, berdasarkan statistik dikeluarkan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB).

Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng berkata, 135 projek pembangunan bagi separuh penggal pertama 2014 itu melibatkan pihak swasta, manakala bakinya merupakan projek pembangunan awam kerajaan.

“Dari segi nilai projek, ia berjumlah RM1,985 juta dengan RM140 juta daripada sektor kerajaan dan RM1,845 sektor swasta.

“Kerajaan Pulau Pinang menyediakan iklim pelaburan yang kondusif untuk kedua-dua pelabur tempatan dan asing,” kata Guan Eng pada sambutan ulangtahun ke-137 Persatuan Pemborong & Pembekal Barangan Bangunan Pulau Pinang (PBBMDA).

Guan Eng berkata, beliau bagi pihak kerajaan negeri menghargai peranan aktif PBBMDA dalam pelbagai kerjasama pada semua peringkat termasuk agensi kerajaan negeri sehingga ke jawatankuasa kecil dalam usaha membangunkan negeri ini.

Tambahnya, tumpuan khusus kini diberikan kepada potensi pembangunan di negeri ini, berikutan penyiapan jambatan kedua Pulau Pinang dan Projek Landasan Berkembar Elektrik yang dijangka memperlahankan kerancakan sektor pembinaan.

Namun, kata Guan Eng, kerajaan negeri mengambil langkah proaktif melalui galakan sektor swasta dan pelaburan asing dengan pengumuman projek terowong bawah tanah Pulau Pinang,

Projek yang dikenali sebagai Penang Tunnel tersebut dilengkapi kemudahan jaringan jalanraya melalui Pelan Bersepadu Pengangkutan Pulau Pinang dan dijangka menelan belanja berjumlah RM27 bilion.

Rebat air 35% ke tapak pembinaan

Dalam pada itu, kata Guan Eng, sebagai sebuah kerajaan negeri yang sentiasa peka kepada keperluan industri, Pulau Pinang akan memberikan rebat sebanyak 35 peratus kadar air bekalan komersial ke tapak pembinaan dari kadar RM3 per meter padu.

Dalam kata lain kata Guan Eng kadar sebenar yang dibayar adalah RM1.95 per meter padu, meningkat 28 peratus daripada kadar lama iaitu RM1.52.

“Kadar RM1.95 per meter padu ini meletakkan Pulau Pinang sebagai antara negeri terendah (caj air industri) di Malaysia dan saya berharap rebat 35 peratus ini membantu menghadkan peningkatan kos,” katanya.

Guan Eng turut memaklumkan kerajaan negeri menggariskan strategi menyeluruh untuk pertumbuhan masa depan Pulau Pinang dalam tempoh sepuluh tahun akan datang.

Katanya, mulai tahun lalu kerajaan negeri menerimapakai konsep ‘Paradigma Pulau Pinang’ sebagai kerangka pembangunan negeri menyeluruh untuk tempoh 10 tahun ke arah membentuk masyarakat yang berimbang.

“Di bawah pelan ini, kami telah menggariskan strategi menyeluruh untuk pertumbuhan masa depan Pulau Pinang menjadi sebuah negeri pintar dan bertaraf antarabangsa menjelang tahun 2023,” ujarnya. – Roketkini.com