Berita

Pemuda PR: Akta Hasutan menjenayahkan percakapan dan fikiran

PUTRAJAYA, 11 SEPT: Akta Hasutan 1948 yang ditinggalkan penjajah British dan berkuatkuasa sebelum kemerdekaan Malaya untuk melawan kebangkitan komunis kini digunakan terhadap lawan politik Barisan Nasional.

Dalam kenyataan bersama Ketua Pemuda DAPSY Teo Kok Seong, Ketua Pemuda Pas Pusat Suhaizan Kayat dan Ketua Angkatan Muda PKR Nik Nazmi, mereka berkata adalah tidak munasabah untuk menjadikan kritikan terhadap pemerintah sebagai kesalahan jenayah.

“Kita tidak wajar lagi dikekang oleh undang-undang Inggeris yang sudah lapuk. Undang-undang yang menjamin keadilan tidak wajar lagi menjenayahkan percakapan dan buah fikiran,” sebut mereka.

Tegas kenyataan itu lagi, perkembangan terbaru termasuk pendakwaan terhadap penceramah bebas dan ahli akademik yang memberi pandangan berdasarkan kelimuan bidang masing-masing adalah sangat membimbangkan.

Lebih-lebih lagi tindakan yang dilakukan kerajaan seolah-olah tunduk kepada tekanan oleh kelompok konservatif di negara ini termasuk antaranya Pertubuhan Peribumi Perkasa (Perkasa), Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) dan bekas Perdana Menteri Malaysia Tun Dr Mahathir.

Selain ahli politik, aktivis mahasiswa dan pensyarah universiti, pengamal media yang membuat laporan kenyataan ahli politik turut didakwa di bawah Akta Hasutan, mengundang kritikan kumpulan masyarakat sivil di negara ini dan pertubuhan kebebasan media antarabangsa.

Pendakwaaan berterusan terhadap pelbagai pihak di bawah Akta Hasutan terbukti kelemahan pentadbrian Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang memungkiri janjinya sendiri pada 2012 untuk memansuhkan undang-undang lapuk tersebut dan menggantikannya dengan Akta Keharmonian.

Malah, sehingga kini Rang Undang-undang Akta Keharmonian bagi menggantikan Akta Hasutan masih belum dibentangkan di Dewan Rakyat, mengabsahkan kegagalan pelaksanaan reformasi undang-undang seperti yang diuar-uarkan Najib sebelum ini.

Justeru itu, Pemuda Pakatan Rakyat mendesak Perdana Menteri menunaikan janjinya untuk memansuhkan Akta Hasutan 1948 dalam semangat Perlembagan Persekutuan yang menjamin kebebasan bersuara dan mengeluarkan pandangan.

Tegas kenyataan bersama itu lagi, hak rakyat untuk mengkritik dan memberikan pandangan tidak boleh lagi digugat dengan penggunaan Akta Hasutan.

“Pemuda Pakatan Rakyat mendesak kerajaan menghentikan serta-merta pendakwaan di bawah akta ini yang mensasarkan sejumlah besar pimpinan tertinggi Pakatan Rakyat, ahli akademik, anak muda dan aktivis awam,” tegas kenyataan tersebut.

Terdahulu hari ini, ketiga-tiga ketua pemuda parti Pakatan Rakyat menyerahkan memorandum bantahan kepada Menteri Dalam Negeri berkenaan penangkapan dan pendakwaan di bawah Akta Hasutan di ibu pejabat Kementerian Dalam Negeri. – Roketkini.com