Wawancara

DAP, Melayu dan Merdeka: Letak duduknya di mata anak muda Malaysia

Roketkini mendudukkan empat anak muda Melayu yang baru sahaja menyertai DAP dan bertanyakan soalan-soalan susah tentang politik, ekonomi dan kemerdekaan bangsa.

Dalam wawancara berjamaah ini, kita berbicara bersama saudari Nurul Hasfifi Ismail, 27 tahun, suri rumah sepenuh masa; suaminya, Anwar Hiro Rapaiee, 31 tahun, seorang arkitek; Raja Ahmad Iskandar Fareez, 25 tahun, seorang perunding perhubungan awam; dan juga Mohd Zulfadli Abd Halim, 31 tahun, seorang jurutera pesawat.

Kenapa masuk DAP?

Kenapa masuk DAP yang dianggap sebagai ‘parti Cina’?

Nunu: Tak macam MCA. DAP tak sebut hanya Cina boleh masuk parti. Sebenarnya orang yang sengaja menampakkan DAP ini sebagai parti Cina. Kita masuk DAP untuk menolak persepsi orang. Tak semestinya Cina sahaja yang kena masuk DAP.

Dan DAP lebih berdisiplin dan kurang kontroversi.

Saudara Iskandar, sebagai orang yang dah lama menyertai DAP, betulkah DAP ini berdisiplin dan kurang kontroversi?

10574280_357437064410225_3232612692183119636_nIskandar: Mana-mana parti pun akan ada kontroversi dan juga masalah disiplin. Tetapi dalam DAP kita dapat lihat adanya disiplin dan tatacara dalam meluahkan pendapat masing-masing. Walaupun ada banyak pendapat, kita dapat muafakat, duduk bersama-sama untuk mencapai satu kata sepakat.

Dalam jangka dua tahun saya bersama DAP, saya lihat bahawa apa-apa yang dikhabarkan oleh media atau tohmah yang dilemparkan oleh penyokong-penyokong BN dan puak ekstremis, semuanya adalah fitnah semata-mata dan sekadar untuk mengalihkan pandangan daripada isu-isu yang lebih penting seperti kenaikan kos sara hidup, kelemahan policy dan pelaksanaan yang telah gagal.

Jadi dalam dua tahun ini, memang yakin betul lah dengan DAP?

Iskandar: Parti politik yang akan menjadi parti politik masa depan adalah parti politik yang mendakap politik dasar dan menjauhkan diri daripada politik perkauman. DAP telah memperjuangkan politik dasar sejak lama dahulu. Apabila kita dapat melangkaui politik perkauman barulah kita dapat membincangkan politik dasar yang memberi kesan kepada semua rakyat.

Masalah di Malaysia ini bukan semuanya berpunca daripada masalah etnik. Seseorang itu tidak miskin kerana dia berasal dari sesuatu kaum. Seseorang itu jadi miskin kerana ada policy dan pelaksanaan yang telah gagal. Policy mungkin baik, pelaksanaan mungkin tidak baik; dan sebaliknya.

Dari segi dasar, DAP adalah sebuah parti demokrasi sosial dan berfungsi dalam kerangka ideologi itu. Apa yang menarik minat saudara Zulfadli dari segi dasar-dasar DAP?

Zul: Saya nampak DAP lebih memahami dan mendekati rakyat dalam soal dasar. Ia tidak sewenang-wenangnya mengenepikan suara rakyat dan sebaliknya mengambil kira mood rakyat, itu yang paling penting. Ia bukan satu parti ‘syok sendiri’ yang merangka dasar yang dirasakan baik untuk rakyat.

Dan DAP dilihat lebih laju buat kerja. Programnya berjalan dengan lebih lancar; walaupun mungkin ada sedikit cacat celanya, tetapi kita dapat melihat hasil. Itu yang paling penting. Dan bila disebut ‘Democratic Action Party’ itu, bahagian A untuk ‘action’ memang boleh dapat gred A betul.

10496208_10152272370812333_5482765803698783463_o (1)Saudara Hiro, setuju dengan saudara Zul bahawa DAP itu aksinya lebih, kurang bercakap?

Hiro: Saya setuju. Sebenarnya saya sendiri telah mengalami bagaimana DAP bekerja dengan rakyat dan bagaimana ia berinteraksi dengan rakyat. Apabila ia merangka sebarang program untuk berkhidmat kepada rakyat, ia betul-betul bertindak – sesuai dengan nama parti.

Jadi itu yang menarik minat untuk menyertai DAP?

Hiro: Ya, DAP sememangnya sebuah parti yang matang sejak ia tubuh beberapa tahun selepas merdeka. Sambil ia matang, pastinya ada beberapa konflik yang berlaku. Itu lumrah bagi sebuah parti politik. Tetapi fokusnya terhadap rakyat sememangnya menjadi keutamaan.

Ketuanan Melayu

Dalam keadaan politik semasa, sampai bila agak-agaknya kita akan masih terlungkup dalam kerangka politik ketuanan Melayu?

Nunu: Sepatutnya dah berakhir. Dengan slogan 1Malaysia Perdana Menteri, sepatutnya ide ketuanan Melayu ini sudah berakhir lama. Rakyat semua bangsa sudah sama-sama memajukan negara, semuanya sudah bersatu. Sepatutnya ide ketuanan Melayu itu sudah lama selesai. Namun sentimen itu masih dimainkan oleh pihak-pihak seperti ISMA dan UMNO terutamanya.

10421542_10204832524512337_2650263116193369477_nKenapa tak masuk ISMA? Sebagai wanita bertudung, berkeluarga, kenapa tidak?

Nunu: Haha. Kita tengok dasar. DAP sampai setakat ini tidak menimbulkan provokasi menggunakan agama. Tetapi parti-parti lain sering sahaja mengaitkan DAP dengan agama dan bangsa, sedangkan DAP sendiri tidak pernah mainkan sentimen agama dan bangsa.

Bagaimana dengan saudara Raja Iskandar Fareez, sebagai orang memiliki susur galur raja-raja Melayu, apa pendapat anda tentang ketuanan Melayu?

Iskandar: Dalam abad ke-21, kita sudah sepatutnya boleh melihat melangkaui pemikiran yang merangkumi hanya kaum, bangsa atau warna kulit. Tahun depan kita akan melihat berlakunya gagasan AEC 2015 (Asean Economic Community). Dalam keadaan begini adakah masuk akal sekiranya kita hanya berfikir dalam kerangka satu kaum, kerana kita akan bersaing dengan negara-negara lain di rantau ini di atas platform yang seimbang tanpa layanan istimewa.

Bagaimana kita mahu kerangka kaum untuk berfungsi dalam kerangka ekonomi baru pada masa akan datang? Tidak wajar sekiranya kita sekadar berwacana tentang politik perkauman sempit.

Kalau perkauman yang tak sempit, tak apa?

Zul: Kita terlebih dahulu perlu faham apa itu perkauman yang tidak sempit. Namun kita kena tahu apa itu perkauman yang tidak boleh, iaitu apabila kita menyokong kaum sendiri walaupun kaum kita berbuat salah. Itu asabiyah, itu dah selesai.

Perkauman, atas fitrahnya manusia ini memang akan mengikut yang sejenis dengannya. Ras ini bukan sahaja pada kulit tetapi juga pada bahasa. Contohnya, orang Arab akan lebih cenderung untuk berkawan dengan orang yang pandai berbahasa Arab, kerana bahasa ini dekat dengan lenggok budaya sesuatu kelompok masyarakat. Mungkin sesuatu itu sesuai dengan budaya kita, tetapi dengan budaya kelompok lain tidak.

Jadi perkauman sempit ialah perkauman yang dipergunakan untuk tujuan-tujuan politik dan ekonomi yang sebenarnya untuk menguntungkan sesetengah pihak sahaja.

Dengan asas bahawa DAP bukan parti perkauman, setuju kalau saya katakan DAP adalah parti politik masa depan?

Hiro: Pastinya saya percaya bahawa DAP bukan setakat parti masa depan, tetapi parti masa kini yang menggalakkan masa depan yang lebih baik untuk semua rakyat Malaysia, tanpa mengira apa latar keturunan atau agama.

Kalau nak dibanding dengan parti-parti lain dalam Pakatan Rakyat contohnya, saya rasa parti-parti lain patut lebih belajar dengan DAP dan melihat bagaimana DAP bekerja, selain DAP juga perlu melihat bagaimana parti-parti kawan dalam Pakatan bekerja.

185620_10200241118936419_2093808434_nEkonomi rumah tangga

Saudara Hiro, sebagai seorang ketua keluarga, boleh ke hidup dalam keadaan ekonomi sekarang ni?

Hiro: Saya sudah bekerja selama lima tahun dan kini sudah berumahtangga dan mempunyai dua orang anak. Sejujurnya kita hidup dalam ekonomi keberhutangan – dari segi hartanah, perbelanjaan harian dan terpaksa meminjam untuk meneruskan kehidupan.

Sebagai seorang arkitek, saya sendiri tidak mampu untuk membeli unit kondominium yang saya sendiri reka. Keadaan pentadbiran ekonomi yang bobrok kini berada pada satu tahap yang amat serius.

Iskandar, rasa bersyukur tak kerana masih bujang?

Iskandar: Haha. Sebenarnya soalan ekonomi begini tidak boleh diletakkan dalam lingkungan kahwin atau bujang. Isi rumah Malaysia ada banyak jenis, termasuk bujang tetapi tinggal bersama keluarga, bujang di perantauan, kahwin tetapi tinggal bersama keluarga mertua, kahwin dengan hanya salah seorang pasangan bekerja dan sebagainya.

Majoriti akan berpendapat bahawa kehidupan dalam keadaan ekonomi sekarang membebankan. Apabila menikah, perbelanjaan akan bertambah secara mendadak berbanding hidup bujang. Peratusan pendapatan yang lebih besar akan terpaksa disalurkan kepada biaya sewa rumah, pengangkutan dan sebagainya. Sebenarnya makin susah untuk rakyat Malaysia berumahtangga dalam keadaan ekonomi sebegini.

Zul, bersyukur tidak kerana cuma ada seorang isteri? Anak berapa sekarang? Rasa terbeban tidak dengan keadaan ekonomi sekarang?

Zul: Anak empat. Isteri tetap seorang. Untuk orang macam saya, nak hidup memang boleh. Tetapi kualiti kehidupan tu belum tentu. Dan kerisauan saya yang utama bukanlah keadaan sekarang, tetapi keadaan di masa depan, untuk pendidikan anak-anak contohnya. Perlu ada simpanan untuk pendidikan mereka dan, kedua, simpanan untuk kehidupan selepas bersara.

Maka perjuangan kita sekarang bukan untuk selesaikan masalah hari ini, tetapi untuk dua puluh tahun lagi. Risau kita bayangkan bagaimana kehidupan anak-anak dengan masa depan yang belum tentu. Sekarang pun contohnya, kita boleh makan ayam; tapi ayam sejuk beku, ‘ayam zombie’. Khasiatnya entah ada entah tidak. Kualiti hidup jadi kerunsingan utama.

Selain daripada ayam dan pendidikan, apa lagi yang membeban kehidupan saudara?

Zul: Kita ada bahaskan tentang pusat jagaan anak-anak. Saya ada empat orang anak. Taska ni ikut tahap umur, makin kecil anak, makin mahal; sekurangnya-kurangnya RM250 seorang satu bulan. Itu belum lagi taska yang berlesen bawah JKM. Taska yang tidak berlesen ni setakat kita boleh tawakal sajalah, kalau jadi apa-apa kepada anak, tak boleh buat apa-apa kerana tak ada lesen.

Jadi saya yang ada empat orang anak berlainan usia akan membelanjakan lebih RM600 hanya untuk anak saya tumpang duduk pada siang hari beberapa jam. Jadi kalau ditolak jumlah ini daripada pendapatan bulanan, berapa sahaja yang tinggal.

Nunu, sebagai seorang ibu, setuju? Kasihan tak dengan suami? Nunu sekarang tak kerja ‘kan?

Nunu: Kasihan. Dan sebab isu yang Zul timbulkan tadilah saya berhenti kerja selepas melahirkan anak yang pertama. Selepas kita tengok kes-kes kematian anak di taska, buat kita rasa takut nak hantar anak ke tangan orang lain. Suami saya (Hiro) yang kerja sebagai arkitek pun gajinya tidak mencukupi untuk menampung keluarga. Sekarang kami tinggal dengan ibu-bapa Hiro, jadi jimatlah tidak perlu bayar sewa rumah dan bil. Tapi kami masih perlu makan dan bergerak ke sana ke mari. Kami masih rasa terbeban, biar pun tinggal bersama mak-ayah. Rasa terbeban kerana gaji kekal rendah, tetapi harga barang semua mahal belaka.

Tetapi Iskandar, janganlah takut untuk berumah tangga. Rezeki tu Allah bagi.

Iskandar, orang kata zaman ini orang menikah bukan kerana cinta tapi kerana ekonomi, setuju?

Iskandar: Bergantung jugalah. Menikah untuk meringankan beban atau menambahkan beban. Haha. Kita kena bezakan juga ekonomi negara dan agihan kekayaan negara. Kita dapat lihat pertumbuhan ekonomi negara bertambah dari tahun ke tahun, tetapi kita sebagai rakyat tidak merasakan manfaat yang diuar-uarkan oleh media dan kerajaan tentang pertumbuhan ekonomi tersebut.

Ini mungkin kerana sistem yang kita pakai di mana mereka yang ada modal akan beroleh keuntungan yang lebih besar berbanding dengan mereka yang hanya membekalkan tenaga buruh. Di situ persimpangannya untuk kita balik berbincang tentang dasar.

579486_3917689740112_33822097_nMerdeka, Malaysia

Kita bakal menyambut Hari Malaysia ke 51, Nunu dan Hiro, sebagai orang Sarawak, ada sebarang rasa kesal dengan cara Sarawak dilayan sepanjang penubuhan Malaysia?

Nunu: Rasanya selepas 51 tahun, kita tengok taraf hidup rakyat di Sabah dan Sarawak tidak semaju Semenanjung. Sedangkan Sarawak ada hasil bumi yang kaya, tetapi agihan kekayaan itu tidak diuruskan dengan baik.

Tapi kan Taib Mahmud dah tak ada?

Nunu: Saya tahu. Sebab dialah yang jadi begini sekarang ni. Kampung saya sendiri, dalam kawasan Parlimen Batang Lupar, asal saya balik kampung saja mesti tak ada air, kadang kalau ada pun air warnanya kuning. Takkan saya nak bagi anak-anak minum air yang begitu. Bekalan elektrik pun masih ada yang tak sampai. Kadang-kadang siang sahaja ada elektrik, malam perlu guna ‘generator’.

Hiro nampak stress betul bila sebut tentang Sarawak. Ada nak tambah?

Hiro: Mari kita lihat kembali kepada sejarah penubuhan Persekutuan Malaysia, bila Sarawak merdeka dan bergabung bersama Sabah, Singapura dan Malaya membentuk Malaysia. Sarawak mendapat kemerdekaan pada 22 Julai 1963 dan sebenarnya sebuah negara berdaulat pada waktu itu, sebelum membentuk Malaysia. Selepas 16 September 1963, sekadar beberapa bulan selepas Sarawak merdeka, ia sekadar menjadi sebuah negeri anggota.

Selepas 51 tahun menjadi negeri anggota Persekutuan Malaysia, Sarawak sebagai negeri paling kaya hasil bumi, masih ada penduduk Sarawak masih lagi buta huruf; rakyatnya masih lagi distereotaip sebagai masih tinggal di hutan dan masih bercawat. Walhal ia negeri yang menyumbang berbilion ringgit daripada hasil petroleum kepada Kerajaan Persekutuan, tetapi pada masa yang sama ia masih miskin. Jadi itu antara ketidakadilan yang sedang berlaku di Sarawak.

Nunu: DAP sedang membantu rakyat Sarawak, sejak 2013 dengan projek Impian Sarawak. Kita nampak hasilnya.

Hiro: Apa yang dilakukan oleh DAP sebagai sebuah parti politik, seolah-olah mengesampingkan kalimat politik, dan datang untuk semata-mata membantu rakyat Sabah dan Sarawak di peringkat akar umbi. DAP sebagai parti yang berideologi membina hubungan rapat dengan kawasan luar bandar sebagai sebahagian daripada semangat solidariti kemanusiaan.

Saya juga dengar DAP sedang bekerja untuk menambahkan royalti minyak Sarawak sehingga 20%, sehinggakan BN Sarawak pun turut menerima usul DAP. Itu sebabnya saya percaya bahawa DAP ialah parti yang tepat untuk memimpin di Sarawak.

603147_523695887652370_156898057_nIskandar: Keadaan di Sarawak dan di seluruh negara sebenarnya sedang beransur baik kerana rakyat sedang mengambil tindakan. Dalam apa jua masalah pun, kita seharusnya bergerak secara tersusun. Seorang individu tidak boleh mengubah dunia, tetapi dengan bantuan seorang lagi, pastinya akan ada sedikit perubahan.

Dalam hal Sarawak ini, saya rasa kita perlukan tingkatkan kesedaran di kalangan orang Semenanjung supaya mereka tahu apa yang sedang berlaku di Sarawak dan kemudian menyuarakan rasa tidak puas hati mereka terhadap kezaliman yang berlaku.

Bangsa Malaysia, selepas 51 tahun, adakah ini sedang berlaku atau sekadar ilusi sahaja? Bagaimana pula dengan Merdeka, setelah 57 tahun, apa ertinya?

Nunu: Sepatutnya lebih banyak penekanan terhadap Hari Malaysia. Bila sebut Merdeka ni, Malaya sahaja yang merdeka. Kalau benar kita hargai Sabah dan Sarawak, seharusnya lebih banyak perhatian diberikan kepada 16 September. 31 Ogos sekadar perayaan Malaya.

Kita perlu buka minda ramai pihak yang masih tertutup tentang Sabah dan Sarawak, terutamanya yang masih percaya orang Sabah dan Sarawak masih tinggal atas pokok dan bercawat.

Iskandar: Merdeka ada erti, tarikh yang mana pun kita terima, itu tarikhnya kita mendapat peluang untuk menentukan masa depan sendiri. Usia sekitar lima puluh tahun adalah sangat muda bagi sebuah negara, pastinya akan ada masalah – seperti anak kecil yang baru tumbuh gigi untuk kita hadapi sebelum kita matang sebagai sebuah negara berdemokrasi.

Kerana hakikatnya demokrasi ini pun sesuatu yang kita dapat secara warisan oleh sebuah kerajaan yang tidak pernah kita lantik. Kita dapat kerajaan itu lebih 50 tahun lalu, dan dia datang bersama demokrasi. Kita tidak kenal betul dengan demokrasi, tidak tahu apa baik dan buruk demokrasi. Namun seburuk-buruk demokrasi, ia adalah sistem yang paling kurang jahatnya.

Zul: Saya rasa Merdeka perlu ‘dimilikrakyatkan’ semula. Kita boleh melihat sekarang ini, Merdeka itu simbol-simbolnya merujuk ke arah Umno – Umno lah yang bagi kita merdeka, jadi kita kena undi Umno. Sedangkan tidak sedikit pejuang-pejuang kemerdekaan (di luar Umno) yang mati demi mendapatkan kemerdekaan.

Nama-nama Burhanuddin Al-Helmi, Pak Sako betul-betul bersepakat untuk menolak British, tapi malangnya sejarah-sejarah ini semacam ditimbus demi memperbesarkan jasa-jasa Umno. Jadi bagi saya, merdeka yang sebenar ialah apabila kita dapat menerima siapa diri kita yang sebenarnya dan mengakui sejarah kita yang sebenar. Bukan sekadar pacak bendera dan pergi konsert. Sekiranya kita malu untuk mengakui sejarah kita sendiri, itu bagi saya masalah yang sangat besar. – Roketkini.com