Berita

Tak setuju dakwa bawah Akta Hasutan, tapi ‘hasutan’ Dr Mahathir lebih teruk

MERSING, 14 SEPT: Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang tidak bersetuju sekiranya Tun Dr Mahathir Mohamad didakwa dibawah Akta Hasutan, namun rakyat Malaysia perlu sedar bahawa ‘hasutan’ bekas Perdana Menteri keempat itu lebih teruk.

Kit Siang dalam satu kenyataan berkata, Dr Mahathir membuat tuduhan tidak masuk akal, palsu dan ganas ketika beliau bertanding di parlimen Gelang Patah dalam pilihan raya umum ke-13 yang lalu.

Antara tuduhan Dr Mahathir ialah kononnya beliau bertanding di Gelang Patah menyebabkan perbalahan antara orang Melayu dan Cina di Johor kerana mahu orang Cina di Johor ‘tidak suka dan benci kepada orang Melayu’.

Kit Siang mendedahkan, Dr Mahathir turut menuduh DAP menolak konsep perkongsian kuasa antara bangsa-bangsa di Malaysia dan mahu menggulingkan kuasa politik orang Melayu.

“Ini bukan sahaja mengarut, tetapi sangat tidak bertanggungjawab, melulu dan berniat jahat bertujuan menghasut kebencian antara kaum dan berkali ganda ‘menghasut’ berbanding apa dilakukan oleh mereka yang kini menjadi mangsa dakwaan hasutan oleh pihak berkuasa,” kata Kit Siang pada majlis makan malam anjuran DAP Mersing, Jumaat lalu.

Terbaru, Dr Mahathir sekali lagi melakukan provokasi seolah-olah bertujuan menimbulkan kemarahan apabila menyatakan bahawa orang Melayu ‘malas’, ‘tidak malu selepas gagal’, ‘kurang amanah mengendalikan wang’ dan ‘pencuri’.

Kata Kit Siang, sekiranya ucapan tersebut datang dari pemimpin DAP dan Pakatan Rakyat sudah pasti mereka ditangkap dan diheret ke mahkamah di bawah Akta Hasutan.

Namun tegas Kit Siang, ia tidak bermakna Dr Mahathir dan Menteri Umno wajar ditangkap dan diheret ke mahkamah kerana hasutan.

Sebaliknya rakyat Malaysia berhak mengetahui mengapa serangan ‘hasutan’ berterusan terhadap perbezaan pendapat dan kritikan, sedangkan Dr Mahathir dan Menteri Umno lebih bersalah kerana ‘menghasut’.

Justeru kata Kit Siang, telah tiba masanya untuk rakyat Malaysia kembali berfikiran rasional dan beliau menyeru untuk menghentikan serta-merta tuduhan hasutan terhadap perbezaan pendapat dan kritikan selain menarik semula semua tuduhan.

“…meskipun Perdana Menteri paling lama berkhidmat, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Menteri-menteri Umno yang pertama sekali harus diheret ke mahkamah kerana ‘menghasut’, ujar Kit Siang, sinis.  – Roketkini.com