Berita

Larian Warna Impian Malaysia berjaya, tarik penyertaan anak muda

TELUK INTAN, 16 SEPT: Govinda Mogen dari Rawang, Selangor muncul juara kategori lelaki terbuka dalam larian Impian Malaysia Colour Run di Teluk intan di sini hari ini.

Govinda, 16, seorang pelajar tingkatan 4, merupakan peserta pertama mencecah garis penamat dalam larian sejauh 5km mengelilingi bandar bersejarah Teluk Intan, menewaskan kira-kira 700 peserta lain.

Selil Gabriel, 22, pelancong dari Kenya, menjadi johan kategori wanita terbuka.

Lai Yook Shing dari Ipoh pula muncul juara veteran wanita manakala Lin Boon Chi, anak tempatan Teluk Intan, menjadi juara veteran lelaki. Kategori itu adalah untuk peserta berumur 50 tahun ke atas.

Larian itu sempena Hari Malaysia dianjurkan oleh Pusat Komuniti DAP Teluk Intan. Ia diselaraskan bersama oleh pengerusi pusat komuniti Dyana Sofya Mohd Daud dan ADUN Pasir Bedamar Terence Naidu.

Para peserta dihujani dengan pelbagai tepung beras berwarna-warni sepanjang larian tersebut yang turut melintasi Menara Condong yang menjadi ikon pelancongan dan warisan Teluk Intan.

Lebih separuh peserta adalah anak muda yang berusia di bawah 21 tahun, kebanyakannya pelajar sekolah tempatan.

Larian itu adalah sebahagian daripada program Impian Malaysia yang bermatlamat mengeratkan hubungan antara rakyat Malaysia pelbagai kaum dan agama.

Impian Malaysia bertujuan melibat diri, mendidik dan memberdayakan (engage, educate and empower) bersama rakyat dalam ruang muhibah dan semangat gotong-royong.

Selain larian berwarna-warni itu, program Impian Malaysia yang mendapat sambutan sukarelawan serta golongan sasar adalah projek infrastruktur di pedalaman Sabah dan Sarawak serta di kawasan Orang Asal di Semenanjung.

Program Impian Malaysia juga merangkumi pendidikan alam sekitar seperti projek penanaman bakau di Pontian, Johor – Roketkini.com