Berita

Akta Hasutan bercanggah Perlembagaan, digubal sebelum merdeka

KUALA LUMPUR, 17 SEPT: Akta Hasutan terbukti tidak digubal oleh Parlimen dan ia bercanggah dengan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan yang menjamin kebebasan bersuara, kata Gobind Singh Deo, peguam kepada pensyarah undang-undang Universiti Malaya, Profesor Dr Azmi Sharom.

Kata Gobind, Akta Hasutan yang digubal dengan nama Ordinan Hasutan 1948 itu digubal sebelum merdeka, dan kemudiannya disemak semula melalui Suruhanjaya Semakan Undang-Undang dan diwartakan sebagai undang-undang.

“Perkara 10(2) Perlembagaan jelas menyatakan bahawa hanya Parlimen boleh mengenakan sekatan ke atas hak-hak di bawah Perkara 10, bermakna akta terbabit ternyata tidak mengikut Perlembagaan,” kata Gobind dalam satu kenyataan.

“Ini adalah kali pertama, untuk pengetahuan saya, permohonan dipindahkan di bawah alasan ini, untuk mengisytiharkan Seksyen 4 Akta Hasutan bercanggah dengan perlembagaan,” ujarnya.

Justeru, beliau menggesa Peguam Negara mempertimbangkan semua pendakwaan dalam kes-kes yang belum selesai sehingga perkara tersebut ditentukan.

Prof Azmi Sharom yang didakwa di bawah Akta Hasutan hari ini memfailkan permohonan kepada mahkamah untuk mencabar perlembagaan undang-undang yang kuno itu.

Azmi didakwa kerana menulis artikel yang didakwa berunsur hasutan dalam The Malay Mail Online bertajuk ‘Take Perak crisis route for speedy end to Selangor impasse, Pakatan told’.

Jika sabit kesalahan, beliau akan menghadapi hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Sementara itu aktivis Haris Ibrahim memfailkan permohonan yang sama di Mahkamah Tinggi, namun ditolak Jabatan Peguam Negara atas alasan teknikal pada 9 September lalu.

Pendakwaraya berkata, sebarang keputusan ditentukan oleh hakim Mahkamah Sesyen sama ada isu perlembagaan boleh dirujuk ke Mahkamah Tinggi. – Roketkini.com