Wawancara

Semangat Malaysia, cabaran organisasi & politik baru Pakatan Rakyat

Pelbagai dasar pro-rakyat dijalankan kerajaan negeri Pulau Pinang, antaranya belanjawan peka gender, usaha mengembalikan pilihanraya kerajaan tempatan dan pewartaan Enakmen Kebebasan Maklumat 2010. Semuanya diusahakan demi mewujudkan pentadbiran yang cekap, bertanggungjawab dan telus.

Paling jelas usaha melibatkan orang ramai dalam proses membuat keputusan. Namun hasil yang terpapar diperoleh bukan semudah yang disangka. Laluan getir merencana dasar, selain diplomasi dan budi-bicara bersama rakyat perlu dipertimbangkan.

Ikuti temubual Roketkini dengan YAB Tuan Lim Guan Eng, Ketua Menteri Pulau Pinang yang juga Setiausaha Agung DAP, yang membicarakan isu politik pentadbiran, cabaran terhadap DAP, peranan negeri dalam semangat Persekutuan selain peranan pengundi muda dalam konteks cabaran politik masa depan.

Terbaru, kerajaan percubaan Pulau Pinang untuk mengembalikan semula pilihanraya kerajaan tempatan. Bagaimana hasilnya dan apa reaksi orang ramai terhadap usaha penglibatan secara bersama dalam proses membuat keputusan?

Itu kemuncak usaha kita untuk kembalikan demokrasi kepada rakyat. Sungguh pun tidak berjaya di mahkamah untuk memastikan ahli majils dilantik melalui pilihanraya kerajaan tempatan, kita teruskan usaha libatkan rakyat dalam proses membuat keputusan. Contohnya projek perumahan PPR di Jalan Sungai, George Town. Dahulu jika mengecat bangunan, warna dipilih pentadbir, tapi kali ini rakyat yang membuat pilihan. Kita membuat keputusan berdasarkan pilihan majoriti. Kita bantu orang ramai pulihkan, hidupkan dan mencantikkan semula PPR dengan kos RM2.3 juta.

Saya rasa hampa usaha kita gagal di peringkat akhir. Tapi kita akan terus libatkan rakyat dalam proses membuat keputusan. Kita takkan putus asa, kerana ini adalah prinsip dan asas demokrasi. Kalau kita boleh memilih Perdana Menteri, Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri, mengapa kita tidak boleh pilih Datuk Bandar atau Ahli Majlis? Ini perjuangan demokrasi untuk memartabatkan kuasa rakyat.

WIRA3235Pulau Pinang mengangkat golongan minoriti dalam dasarnya sehingga dihormati kawan dan disegani lawan politik. Apa yang dilakukan kerajaan negeri sehingga orang ramai sering menyebut Pulau Pinang sebagai model baik pentadbiran?

Kita mendapat sambutan yang sangat baik dari pihak swasta dan kementerian tertentu. Contohnya Kementerian Pelancongan. Dahulu hubungannya tidak berapa baik, tetapi sekarang menterinya lebih matang. Peningkatan pelancong ke Pulau Pinang sebenarnya menguntungkan Kerajaan Pusat. Maka, kementerian tersebut memutuskan, mengapa tidak jika diadakan kerjasama?

Begitu juga usaha menarik pelabur ke Pulau Pinang. Yang mendapat manfaat besar melalui cukai dan sebagainya adalah kerajaan Pusat. Dalam perkara ini tidak usah kita bermain politik, kelak memakan diri. Kita jangan bersikap ‘meludah ke langit, nanti jatuh ke muka sendiri’.

Untuk mengangkat hak minoriti, Pulau Pinang contohnya menubuhkan Pusat Dialisis CAT. Kita negeri pertama di Malaysia yang menubuhkan pusat dialisis untuk mereka yang kurang berkemampuan. Malah, kita bercadang untuk menubuhkannya di setiap daerah dan bermula di kawasan kampung di Balik Pulau. Pada awalnya orang ramai ragu-ragu. Namun atas kerjasama kerajaan negeri dan pihak swasta, langkah ini kemudiannya dipuji.

Kerajaan Pulau Pinang turut menyumbangkan wang bantuan kepada pemandu teksi sebanyak RM600 setahun. Kita satu-satunya negeri di Malaysia yang menjalankan dasar ini sampaikan pemandu teksi di negeri lain ‘merah mata’. Dalam masa sama mereka kagum dengan cara Pulau Pinang mengambil berat terhadap kebajikan pemandu teksi. Begitu juga dengan bantuan RM100 sebulan kepada penarik beca.

Usaha ini kita lakukan secara berperingkat. Yang penting kita gigih dan bertegas untuk terus mara dan mencapai matlamat.

Bagaimana hubungan kerajaan negeri yang ditadbir oleh parti yang dengan berbeza dengan kerajaan Persekutuan? Apakah Pulau Pinang dianaktirikan, atau geran tahunan Pusat kepada negeri dilewatkan seperti yang berlaku kepada Kelantan sebelum ini?

Bergantung kepada jenis kementerian. Ada kementerian tertentu yang sedikit payah – ‘Siapa makan cili, dia rasa pedas’. Tetapi kita mencapai kemajuan yang ketara dari sudut peningkatan pelancong asing dan pelaburan. Pulau Pinang mementingkan pelaburan berkualiti supaya rakyat ditawarkan pekerjaan berpendapatan tinggi. Contohnya industri kreatif dan sektor perkhidmatan.

Kerajaan Pusat hanya menyerahkan (geran tahunan) mengikut apa yang dinyatakan dalam undang-undang. Sekadar itu sahaja. Berbanding kerajaan Pusat, Pulau Pinang masih ada lebihan. Bonus yang Pulau Pinang beri kepada kakitangan kerajaan negeri lebih tinggi berbanding yang diberikan kerajaan Pusat. Tahun ini Pusat, memberikan bonus RM500, sebaliknya Pulau Pinang memberikan bonus setengah bulan gaji, atau minima RM600.

Umno merasa terancam dengan kempen keahlian baru yang giat dijalankan sehinggakan ‘duta’ DAP calon PRK Teluk Intan Dyana Sofya, Young Sepura, bahkan Sekolah Demokrasi anjuran Roketkini.com diserang media Umno-BN. Apa pandangan YAB berhubung perkara ini?

Kita ada rekod untuk membuktikan bahawa kita boleh membawa perubahan. Apa gunanya jika anda sebagai sebuah parti Malaysia yang terdiri dari semua kaum tiada satu pun rekod dan bukti kukuh bahawa parti anda boleh membawa perubahan positif kepada rakyat?

WIRA3078Bagi DAP, kita di Pulau Pinang ada rekod. Pentadbiran kita adil untuk semua. Terbaru, kerajaan negeri menyumbangkan RM1,000 kepada pelajar baru yang mengikuti kursus peringkat diploma dan sarjana muda. Bantuan ini telah dijalankan selama tiga tahun. Begitu juga untuk bantuan lain untuk warga emas, ibu tunggal dan sebagainya.

Program ini memberikan manfaat kepada hampir semua rakyat di Pulau Pinang. Mereka buat perbandingan antara sekarang dan dahulu. Walaupun kita tak dapat bantuan dari kerajaan Pusat, tetapi oleh kerana Pulau Pinang adalah kerajaaan yang bersih, kita dapat menjimatkan wang untuk kegunaan rakyat.

Bermakna asas sokongan untuk kita kukuh. Masalahnya hanya orang di Pulau Pinang sahaja yang tahu mengenai perkara ini. Kemudian mereka cuba fitnah, tetapi tindakan itu takkan berhasil. Kerana jika kita bertanya sendiri kepada penduduk Pulau Pinang, mereka akan menjawabnya dan mentertawakan fitnah itu.

Oleh itu, kita memerlukan muka-muka baru yang boleh menarik perhatian dan menawan hati. Dulu mungkin tak ada pihak yang boleh hebahkan perkara ini. Itu yang membuatkan mereka rasa terancam. Maka digunakan isu perkauman, namun tetap tak berjaya, lebih-lebih lagi di Pulau Pinang.

Kita buat risalah, tetapi macam tak sampai ke sasaran. Baik, sekarang kita manfaatkan muka baru yang menyertai DAP dan tahu prestasi kita di Pulau Pinang. Mereka boleh menceritakan kejayaan kita di kawasan-kawasan lain. Langkah ini ada kesannya, tapi bukan sehari dua. Kita boleh melihat pembaharuan namun memerlukan masa yang panjang.

Itulah makna perjuangan. Kata Soekarno, “berikan aku sepuluh orang pemuda, nescaya akan aku goncangkan dunia.”

Bagaimana strategi untuk menarik sokongan orang Melayu kepada Pakatan Rakyat secara umum dan DAP secara khusus? Cabaran ini dirasai aktivis akar umbi terutamanya berdepan warga tua dan pengundi luar bandar, dan bagaimana Pakatan Rakyat mengupayakan sayap pemuda?

Ada dua syarat, iaitu ‘syarat negatif dan syarat positif’. Syarat positif ialah memperkasakan organisasi dan publisiti parti. Syarat negatif ialah kita perlu ingatkan kepada rakyat Malaysia bagaimana mungkarnya pentadbiran BN. Rasuah, salah guna kuasa, penyelewengan, masalah integriti dan akhlak. Itu yang perlu kita terus uahakan. Tentulah ini kerja yang sukar, namun tidak ada jalan pintas.

Menyebut usaha memperkasakan jentera, kita tahu media BN akan digunakan, dan DAP tidak boleh bergerak sendirian. Ia memerlukan bantuan parti rakan PKR dan PAS. Lebih-lebih lagi dalam persediaan menuju pilihanraya umum ke-14 dan pilihanraya negeri Sarawak.

Ketua pemuda parti-parti Pakatan Rakyat – Teo Kok Seong, Nik Nazmi, dan Suhaizan Kayat – saya yakin mereka mampu bekerjasama sebagai satu pasukan. Untuk orang muda, isunya masih sama iaitu masalah ekonomi. Mahasiswa yang tamat pengajian susah mendapatkan kerja. Kalau dapat kerja tak cukup untuk berbelanja. Isu seperti ini yang perlu diperluas dan selalu diberi tumpuan.

Kita lihat kepada dasar bersama Pakatan Rakyat. Ada banyak idea-idea baru yang bernas. Saya rasa Pakatan Rakyat perlu lebih banyak membuat penjelasan dengan menumpukan kepada isu ekonomi. Muafakat sangat penting di kalangan keluarga Pakatan Rakyat. Muafakat kita berdasarkan prinsip bersama demi rakyat.

Konvensyen DAP baru-baru membawa tema ‘Politik Baru’. Barangkali pada pandangan anak-anak muda, ‘Politik Baru’ mungkin kebebasan mutlak sehingga melanggar disiplin dan Whip parti. Apakah politik baru yang dimaksudkan DAP?

Saya rasa yang itu bukan politik baru, itu politik lama, mungkin politik munafik. Politik baru yang kita maksudkan adalah yang ‘cakap serupa bikin’. Akhirnya apabila kita membuang undi, mereka pun tertakluk kepada Whip.

Politik baru ini untuk rakyat. Apa guna kita cakap-cakap tapi kehidupan rakyat tak terjamin. Yang kedua, berikan peluang kepada wanita serta orang muda. DAP memberi peluang besar kepada orang muda dan wanita yang tidak pernah diberikan sebelum ini. Inilah dia politik baru yang kita ketengahkan.

Bagaimana YAB sebagai Setiausaha Agung DAP melihat masa depan Pakatan Rakyat dalam keadaan sekarang yang seakan-akan sukar untuk bersama kerana perbezaan ideologi dan fraksi-faksi tertentu, contohnya dalam PAS sendiri?

Saya tidak mahu komen tentang perkara-perkara yang berkaitan dengan parti rakan. Biasalah politik, ada naik dan turunnya. Kadang-kadang masa akan menyembuh dan merawat semua masalah itu. Saya rasa keadaan masih belum jelas lagi. Biarlah kita tunggu seketika, ‘mungkin hari lebih siang, embun akan hilang’.

WIRA3078Bagaimana YAB melihat pentadbiran negeri Selangor ketika ini yang kita tahu dalam suasana tidak stabil? Sebagai Setiausaha Agung parti, apakah arahan tertentu dari YAB?

Saya selalu melihat kepimpinan dari sudut semangat berpasukan. Kalau kita ingat seorang boleh ambil semuanya, pemimpin macam ni kena ‘tapau’ lah. Tidak ada seorang pun yang boleh bekerja seorang diri. Tengok Perlis, kenapa perlu sampai 10 orang ahli Exco?

Sebab itu saya selalu mementingkan dan memberi keutamaan kepada semangat berpasukan. Sama-sama membuat keputusan kepimpinan secara kolektif ia lebih berkesan. Saya rasa kejayaan ini adalah hasil dari usaha kerja berpasukan yang kita miliki. Memang saya memikul tanggungjawab paling besar, tapi ‘team work’ yang membawa kita mencapai kejayaan. Sama juga dalam DAP dan lain-lain.

Dalam aspek ini, saya rasa terpulanglah kepada pemimpin, Menteri Besar, untuk mewujudkan ‘team work’ . Pertama, mesti ada ‘team work’, kedua macam mana untuk memastikan ‘team work’ dapat bekerja dengan lancar supaya kita dapat integrasikan semua portfolio. Itulah tugas paling utama untuk Ketua Menteri atau Menteri Besar.

Katakan selepas ini, Datuk Seri Wan Azizah akan dilantik sebagai Menteri Besar Selangor. Apakah peranan DAP jika berlaku penentangan terhadapnya dari PAS dan PKR sendiri atas perlantikan itu?

Saya rasa kita tidak boleh memberitahu bagaimana keputusan parti secara dalaman dibuat. Kita hanya boleh memastikan keutuhan DAP kekal. Lebih daripada itu bukan urusan kita untuk campur tangan. Tapi tentulah dalam Pakatan, kita akan cuba cari ruang-ruang perpaduan yang sedia ada supaya kita boleh perbanyak kepelbagaian (pandangan) dan perbaiki kesatuan negeri. Itulah peranan yang kita boleh mainkan. Kalau semua tiga-tiga pecah kerana masalah dalaman, habislah.

Kerajaan hanya boleh dibentuk dengan tiga parti secara bersama. Kurang satu pun jatuh. Mesti tiga parti bersama. Saya selalu melihat di belakang setiap krisis, ada peluang. Kalau krisis ini dapat diatasi dengan baik, itu akan mengutuh dan menguatkan lagi Pakatan Rakyat. Tentu ada risiko besar, tapi di belakang risiko, ada peluang.

Kalau kita boleh utuhkan lagi, bermakna kita sudah berjaya lepasi satu ujian oleh BN yang berniat untuk memecah-belahkan kita.

Menjelang PRU ke-14, difahamkan lebih 60 peratus senarai daftar pemilih akan terdiri dari pengundi muda. Pemuda BN dilihat giat untuk mendapatkan sokongan orang muda termasuk golongan profesional. Apakah Pakatan Rakyat perlu berasa selesa memandangkan peranan media sosial masih berpihak kepadanya?

Kita perlu kembali kepada asas dan prinsip pentadbiran yang bersih. Sebagai contoh, pentadbiran CAT (competency, accountability, transparency).

Saya tak rasa pendekatan Pemuda BN itu sebagai sesuatu yang baru, bahkan ‘indah khabar dari rupa’. Apa yang diusahakan mereka hanyalah percubaan ‘menutup sepuluh lubang dengan lapan penutup’. Mereka hanya bermain menutup lubang tetapi tidak dapat menutup kesemuanya. Apakah dua perkara yang gagal ditutup itu? Rasuah dan kronisme. Puncanya ialah kerana mereka gagal untuk menyelesaikan perkara pokok.

Apakah mereka berani untuk mengkritik isu rasuah? Apakah mereka berani untuk mengisytiharkan harta peribadi? Apakah mereka berani menyatakan bahawa semua ahli keluarga ahli politik tak boleh berurusniaga dengan kerajan? Mereka tak berani.

Sungguhpun kadang kala kempen mereka akan menarik perhatian, selagi perkara pokok tak diuruskan, apa yang dilakukan hanya kempen ‘syok sendiri’. Hanya perubahan yang dapat menyelesaikan masalah.

Apa yang dilakukan hanyalah menggunakan wang dan jentera kerajaan. Apa yang dilakukan hanyalah dengan bijak memaksimakan sumber dalam kerajaan agar pakej kelihatan lebih baik. Malangnya pakej itu cantik di luar, tetapi busuk di dalam. Ini tidak mengubah apa-apa.

Kita tidak memandang rendah potensi orang muda. Tetapi kita perlu berpegang dengan pandangan: ‘Mengharap yang terbaik dan bersiap sedia untuk yang terburuk’. – Roketkini.com