Berita

Najib ‘Bapa Akta Hasutan’?

KUALA LUMPUR, 18 SEPT: Datuk Seri Najib Razak akan dikenang sejarah sebagai Perdana Menteri yang menjadikan Akta Hasutan 1948 sebagai senjata utama untuk menindas dan menekan kritikan dan tentangan, tidak lama selepas dirinya sendiri berikrar untuk memansuhkan akta itu.

Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang berkata, Najib tidak boleh terus berdolak-dalik dan mesti menyatakan dengan jelas sama ada beliau masih komited menjadikan Malaysia sebagai ‘demokrasi terbaik di dunia’, seperti yang dicanangnya sebelum ini.

“Jika tidak, beliau perlu tanpa rasa malu mengumumkan berakhirnya apa sahaja transformasi politiknya, dan fasa baru pentadbirannya di mana Akta Hasutan menggantikan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) sebagai senjata menekan kritikan dan penentangan dalam negara,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau juga mengucapkan ‘tahniah’ kepada Najib kerana berjaya mencapai ‘tahap demokrasi terburuk dekad ini’, dengan mewujudkan suasana ketakutan selepas siri tangkapan akta itu terhadap mangsa-mangsa daripada pelbagai latar belakang, daripada pemimpin Pakatan Rakyat dan aktivis masyarakat sehinggalah kepada wartawan dan pendakwah.

“Selain itu, Najib telah menjadikan kesederhanaan sebagai kesalahan hasutan, sehingga rakyat mula merasakan hak kebebasan bersuara ‘disumpah’ oleh beban tiadanya kebebasan selepas bersuara.”

Lebih menyedihkan, kata Ahli Parlimen Gelang Patah itu lagi, mesyuarat kabinet dalam beberapa minggu ini tidak menunjukkan sebarang tanda bahawa menteri-menteri kabinet sendiri menyatakan penolakan mereka terhadap siri tangkapan itu.

Terbaru, Gerakan Kesederhanaan Global (GMM), yang merupakan hasil buah fikiran Najib sendiri telah meminta wartawan untuk tidak melaporkan forum anjurannya pada 16 September lalu.

Memetik laman The Malaysian Insider, Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Saifuddin Abdullah berkata, keputusan itu disebabkan permintaan peserta forum itu sendiri.

“GMM sendiri tidak boleh memastikan kebebasan peserta, dan melindungi mereka daripada siri tangkapan ini, walaupun ketika memperjuang kesederhanaan,” katanya. – Roketkini.com