Berita

DAP Sarawak mohon SPRM siasat tender ‘jemputan’

KUCHING, 19 SEPT: DAP Sarawak telah memfailkan aduan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung penukaran projek tender terbuka kepada tender terpilih atau ‘jemputan’ secara rahsia oleh Kementerian Kewangan.

Pengerusi DAP Sarawak Chong Chien Jen berkata, laporan tersebut melibatkan projek pembinaan Jalan Poi Pakej B Bahagian Kapit, Pakej C jalan yang sama bernilai RM100 juta setiap satu dan Jambatan Kanowit bernilai RM150 juta.

“Pada mulanya, projek telah diiklankan untuk proses tender terbuka, tetapi kemudian Kementerian Kewangan secara rahsia menukarnya kepada tender ‘jemputan’.

“Untuk proses tender terbuka, sesiapa sahaja boleh mengemukakan permohonan, tapi bila dipilih, hanya beberapa nama yang dicalonkan kementerian layak.

“Terdapat ruang untuk rasuah, salah guna kuasa kronisme di bawah sistem tender ‘jemputan’ ini,” katanya.

Ahli Parlimen Bandar Kuching itu menegaskan, isu ini menimbulkan kecurigaan besar apabila permohonan projek tender terbuka diumum dan diiklankan dalam media.

“50 permohonan telah diterima bagi kedua-dua projek jalan raya itu, namun Kementerian Kewangan tiba-tiba dan secara rahsia menukarnya.

“Memandangkan tidak ada ketelusan dalam tender projek, kami memutuskan untuk membuat laporan kepada SPRM dan berharap siasatan dapat dijalankan secara teliti tanpa rasa takut mahupun ‘pilih bulu’,” tegasnya.

Beliau menegaskan, perkara ini telah beliau bangkitkan dua kali kepada kementerian termasuk di Parlimen.

“Tarikh tutup bagi tiga projek terbabit sepatutnya pada bulan Mac dan April tahun ini.

“Tetapi kerana penukaran secara senyap, projek masih belum dimulakan sehingga sekarang,” ujarnya.

Tambahnya, tiga syarikat yang diberi anugerah projek juga amat mencurigakan di mana syarikat pertama hanya mempunyai modal berbayar sebanyak RM500,000, syarikat kedua baru ditubuhkan pada tahun 2011 dan ketiga didaftarkan sebagai syarikat pengangkutan.

Sebelum ini, beliau turut telah mendedahkan anugerah projek pembinaan jalanraya di Sarawak yang dimonopoli syarikat Cahaya Mata Sarawak Berhad (CMSB), milik anak bekas Ketua Menteri Sarawak Datuk Seri Mahmud Abu Bekir Taib. – Roketkini.com