Berita

Penjarakan Adam Adli: DAPSY tawar apa sahaja bantuan

KUALA LUMPUR, 19 SEPT: Keputusan Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman penjara 12 bulan kepada aktivis pelajar Adam Adli membuktikan bagaimana Kerajaan BN dengan sewenangnya menyalahguna undang-undang.

Ketua Pemuda DAP (DAPSY) Teo Kok Seong berkata, beliau kecewa dan kesal dengan keputusan memenjarakan Adam itu setelah didapati bersalah di bawah Akta Hasutan 1948.

“Sekali lagi seorang anak Malaysia menjadi mangsa akta tersebut selepas Safuan Anang dijatuhkan hukuman 10 bulan penjara.

“DAPSY berasa amat dukacita melihat bagaimana undang-undang yang seharusnya digunakan untuk melindungi hak dan kebebasan bersuara telah disalahguna sewenang-wenangnya.

“Demokrasi yang kita amalkan ini telah bertukar menjadi mimpi ngeri bagi para pejuang demokrasi,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Ahli Parlimen Rasah itu juga mengharapkan Adam merayu hukuman tersebut kerana beliau pada prinsipnya tidak bersalah dan DAPSY bersedia menyediakan apa juga bantuan terhadapnya.

“Pejuang demokrasi tidak akan sekali-kali tunduk dengan tekanan undang-undang yang menodai hak asasi.

“DAPSY sedia menawarkan apa jua bantuan sebagai tanda solidariti terhadap Adam,” tegasnya.

Beliau turut mengingatkan Kerajaan BN, taktik mereka menggunakan Akta Hasutan untuk mengheret dan menghukum lawan politik tidak sekali-kali mematahkan cita-cita anak muda serta warga Malaysia dari terus berkempen memansuhkan undang-undang kuno itu. -Roketkini.com