Berita

Tidak angkuh seperti Umno, pemimpin DAP sedia minta maaf jika salah

KUALA LUMPUR, 19 SEPT: Tidak seperti pemimpin Umno yang angkuh, pemimpin DAP sentiasa bersedia menerima kritikan dan memohon maaf jika tidak sengaja melakukan kesilapan dan terlanjur kata-kata.

Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua memuji tindakan Ahli Parlimen Bandar Kuching Chong Chieng Jen yang segera memohon maaf berhubung isu nyanyian ‘Negaraku’ di pawagam, walaupun kenyataannya itu sebenarnya disalah faham.

“Chong tidak pernah mengkritik atau biadap terhadap lagu kebangsaan, tetapi mempersoalkan dasar memainkan Negaraku di pusat hiburan seperti pawagam, kerana risiko kehormatan lagu itu untuk dicemari.”

“Beliau jelas menyatakan bahawa keluarganya turut berdiri menghormati Negaraku. Maka isu tidak patriotik atau menghina lagu kebangsaan tidak timbul,” katanya dalam satu kenyataan.

Namun, katanya lagi, Chong tetap berjiwa besar dengan memohon maaf dan menarik balik kenyataan, selepas menyedari ia menyinggung perasaan orang ramai.

Pada 16 September lalu, Chong yang juga Pengerusi DAP Sarawak menarik balik kenyataannya dan memohon maaf beberapa jam selepas mempersoalkan kewajaran memainkan lagu ‘Negaraku’ sebelum tayangan di pawagam.

Dalam kenyataan itu, beliau menyatakan tidak bermaksud untuk merendah-rendahkan lagu itu, serta mengakui kata-kata yang digunakannya tidak sesuai.

Kata Pua lagi, ia berlawanan sepenuhnya dengan pemimpin Umno yang angkuh untuk menunjukkan rasa bersalah, apatah lagi memohon maaf selepas mengeluarkan kenyataan seperti mengapi-apikan sentimen perkauman.

Beliau mengambil contoh Ahli Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Puad Zarkashi yang ‘berani’ menyelar Chong, sedangkan tidak pernah memohon maaf di atas pembohongan dan kenyataannya yang menyinggung orang lain selama ini.

“Beliau terkenal selepas mengkategorikan semua lelaki yang memakai baju kolar ‘V’ dan ketat sebagai homoseksual,” katanya merujuk ‘garis panduan mengesan pelajar homoseksual’ yang dikeluarkan Kementerian Pelajaran pada tahun 2012, ketika Puad masih menjadi Timbalan Menteri Pelajaran.

Katanya lagi, Puad juga pernah memfitnah kononnya DAP mencetak sejumlah 100,000 Bible berbahasa Melayu yang menggunakan kalimah ‘Allah’.

“Itu adalah pembohongan gila dan tidak berasas. Namun, beliau tidak pernah memohon maaf.

“Maka pemimpin Umno tidak layak untuk berpura-pura suci (take moral high ground), kerana kelakuan dan kenyataan mereka sebenarnya lebih teruk, serta tidak pernah peduli untuk menarik balik serta memohon maaf,” katanya lagi. – Roketkini.com