Berita

‘Wonderful Night’ Pesta Kluang tetap diteruskan walaupun disabotaj

KLUANG, 19 SEPT: Acara Wonderful Night Pesta Kluang akan tetap diadakan di Taman Merdeka, walaupun Majlis Perbandaran Kluang (MPK) memutuskan untuk menolak permohonan Pusat Komuniti Kluang (PKK) untuk program itu.

“Akhirnya MPK memutuskan untuk menolak permohonan tapak Pesta Kluang di lorong Jalan Dato’ Teoh Siew Khor dan Taman Merdeka tanpa memberi sebarang sebab.

“Kami menerima balasan MPK dengan serahan tangan, selepas menghantar permohonan sejak dua bulan lalu,” kata PKK dalam laman Facebook rasminya.

PKK mempersoalkan penolakan itu yang tidak konsisten, memandangkan acara Pesta Tanglung di Jalan Wayang anjuran Pertubuhan Kaum Perabat dan ‘Get Up Kluang’ di Kluang Mall diluluskan tanpa sebarang masalah.

“Menghairankan. Apakah sebab dua acara itu diluluskan, tetapi tidak Wonderful Night?” soalnya.

Wonderful Night yang dijadualkan berlangsung bermula jam 4 petang hingga 11 malam Sabtu ini adalah acara kemuncak pesta yang berlangsung seminggu, bermula 13 September lalu.

Namun, penolakan itu tidak mematahkan semangat PKK yang diketuai Ahli Parlimen Kluang Liew Chin Tong untuk meneruskan acara tersebut.

“Undang-undang tidak melarang orang ramai bersiar-siar di Taman Merdeka.

“Maka kami memutuskan Wonderful Night akan dijadikan sebagai aktiviti persendirian, bukan aktiviti pentas seperti yang dirancang. Pengunjung boleh menyanyi, bermain gitar di taman,” katanya lagi.

Dalam surat bertarikh 17 September, MPK memaklumkan, mesyuarat Jawatankuasa Kewangan dan Perkara-perkara Am menolak permohonan itu, malah ‘mencadangkan’ pula agar ia digantikan dengan aktiviti pembersihan Sungai Mengkibol di sana.

“Kami setuju dengan cadangan kreatif Yang Dipertua MPK Adib Azhari Daud, dan berharap beliau bersama-sama Ahli Majlis MPK serta kakitangannya turut menyertai pembersihan Sungai Mengkibol nanti,” tambahnya sinis. – Roketkini.com