Berita

Pulau Pinang sasar 2015 negeri pertama sifar miskin tegar

GEORGE TOWN, 21 SEPT: Melalui Agenda Ekonomi Sosial (AES) kerajaan negeri Pulau Pinang mensasarkan untuk menjadi negeri pertama di negara ini yang berjaya membasmi kemiskinan tegar menjelang 2015.

Ketua Menteri Lim Guan Eng berkata, melalui AES, kerajaan negeri memberi jaminan bahawa setiap keluarga di negeri ini diberikan wang perbezaan sebagai tambahan untuk menggenapkan pendapatan minima RM790 setiap bulan.

“Pulau Pinang adalah negeri pertama di Malaysia yang bebas miskin tegar dengan memastikan setiap keluarga memenuhi Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) sebanyak RM790.00 sebulan pada 2013.

“Sejak tahun 2008 sehingga Julai 2014, kerajaan negeri telah membelanjakan sebanyak RM 13,456,167.00 selaras dengan pengekalan status Pulau Pinang sebagai miskin tegar sifar,” ujarnya ketika menyampaikan ucapan sempena Majlis Penganugerahan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Kehormatan Negeri di Dewan Sri Pinang, semalam.

Dasar Pembasmian Kemiskinan Tegar Negeri Pulau Pinang ( DPKTPP )diwujudkan bagi memastikan Pulau Pinang sentiasa berada dalam status miskin tegar sifar.

Dasar yang berkuatkuasa semenjak 2013 mensasarkan tempoh setahun bagi mencapai matlamat tersebut melibatkan semua Jabatan Negeri, Badan Berkanun Kerajaan Negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan.

Tambah Guan Eng, usaha-usaha membasmi kemiskinan tegar secara menyeluruh oleh kerajaan negeri dilakukan tanpa mengira perbezaan kaum, umur, fahaman politik, dan agama.

Dalam pada itu katanya, pencapaian-pencapaian kerajaan Pulau Pinang sepanjang pentadbiran Pakatan Rakyat semenjak 2008 telah mendapat pengesahan dan pengiktirafan dari ‘Transparency International’ dan Laporan Ketua Audit Negara setiap tahun.

Semenjak 2008 hingga 2012 aset negeri bertambah 50 peratus daripada RM800 juta kepada RM1.2 bilion tahun ini serta meningkatkan lagi kerajaan negeri berjaya mencatat lebihan belanjawan sebanyak RM252.8 juta.

“Lebih penting lagi, kita dapat mengurangkan hutang Kerajaan Negeri kita sebanyak 90 peratus,” ujar Guan Eng

“Hanya kepimpinan yang telus dan berintegriti dapat melaksanakan dasar ekonomi serampang tiga mata iaitu menjana pertumbuhan ekonomi, mewujudkan peluang pekerjaan dan memupuk keadilan,” katanya. – Roketkini.com