Berita

“Kertas soalan UPSR pun bocor, nak bina loji nuklear?” – Guan Eng

GEORGE TOWN, 22 SEPT: Jika kerajaan masih gagal menangani kebocoran kertas soalan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR), apakah jaminan perkara yang sama tidak berlaku sekiranya loji janakuasa nuklear dibina di negara ini

Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng berkata demikian merujuk dakwaan kebocoran kertas soalan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2014 bagi matapelajaran Matematik dan Bahasa Tamil.

Ujar Guan Eng, kebimbangan berhubung rentetan insiden ‘bocor’ yang berlaku terhadap prasarana awam di Malaysia kini merebak hampir ke seluruh sistem pentadbiran negara, malah kepada soalan peperiksaan UPSR.

“Ini adalah sesuatu yang memalukan dan kita perlu menilai kembali dengan berterus terang. Masalahnya ialah sistem kawalan dalaman. Selama ini tidak ada tindakan diambil apabila kelemahan berlaku,” kata Guan Eng dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, Timbalan Menteri Pendidikan II P. Kamalanatan berkata Kementerian mengesahkan laporan kebocoran kertas soalan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2014 bagi matapelajaran Matematik dan Bahasa Tamil.

Manakala minggu lalu, kertas peperiksaan bagi matapelajaran Sains dan Bahasa Inggeris turut dilaporkan bocor, mendesak penubuhan Jawatankuasa Bebas Mengkaji Pengurusan Peperiksaan Awam yang diketuai bekas Ketua Hakim Negara, Tun Zaki Tun Azmi.

Susulan itu beberapa laporan polis dibuat dan 14 orang ditahan bagi membantu siasatan.

Kerajaan turut menggantung tugas Pengarah Lembaga Pengarah Peperiksaan Dr Na’imah Ishak dan Timbalan Pengarah Operasi badan itu Dr Wan Ilias Wan Salleh sehingga siasatan mengenainya selesai.

Kebocoran kertas soalan itu menjejaskan hampir 470,000 murid Tahun Enam yang terpaksa mengambil semula peperiksaan bagi matapelajaran Sains dan Bahasa Inggeris yang dijadualkan pada 30 September

Justeru Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan turut mengingatkan bahawa Laporan Ketua Audit Negara saban tahun mendedahkan ketirisan, pembaziran dan kebocoran yang berlaku sistem kewangan dan pentadbiran negara, namun tidak ada sebarang perubahan drastik diambil.

“Kita tengok LKAN, setiap kali laporan dibuat tidak kira sama apa sahaja benda, dari jam (dinding) hinggalah kepada scanner (alat pengimbas) yang harganya dari RM100, tetapi dibeli pada harga RM3,000.

“Kita (pernah) menghadapi masalah kebocoran dalam bangunan Parlimen yang kos (pembaikan) menelan belanja jutaan ringgit.  Sekarang kita nak bina loji nuklear? soalnya. – Roketkini.com.