Berita

1MDB perlu jawab keraguan pembelian tanah di Pulau Pinang

GEORGE TOWN, 24 SEPT: 1Malaysia Development Berhad (1MDB) perlu menjelaskan pembelian tanah 234 ekar di Air Itam, Pulau Pinang yang dibuat ketika tempoh kempen pilihanraya umum (PRU) ke-13 seperti didedahkan akhbar The Edge Weekly.

Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng berkata, urusniaga itu amat meragukan, memandangkan ia dibuat enam hari sebelum PRU ke-13 dengan harga RM1.38 bilion, 95 peratus lebih tinggi daripada penilaian yang dibuat pada Disember 2011.

Menurut laporan edisi terbaru The Edge Weekly, urusniaga melibatkan tanah berstatus pegangan kekal (freehold) itu dibuat melalui pada 29 April 2013 dan urusniaga terakhir pada 23 September 2013.

“Apakah manfaat yang diperoleh 1MDB, dan seterusnya kepada rakyat Malaysia yang membiayai 1MDB, dengan pembelian ini?” soal Guan Eng dalam satu kenyataan hari ini.

Guan Eng turut mempersoalkan janji BN sebelum PRU ke-13 untuk membina 9,999 unit rumah awam dan mampu milik melalui skim perumahan 1MDB.

Menurutnya, 6,666 unit daripadanya terdiri dari rumah kos rendah dengan keluasan 700 kaki persegi dan 3,333 rumah mampu milik berkeluasan 1,000 kaki persegi.

Justeru kata Guan Eng, berdasarkan keluasan tanah dan bilangan rumah yang dijanjikan, adakah 1MDB berhadapan kerugian lebih RM1.5 bilion dan pihak mana yang akhirnya menanggung kerugian itu.

Ini kerana katanya, walaupun badan pelaburan milik kerajaan itu tidak membina rumah-rumah tersebut, sebaliknya tetap menanggung kerugian dengan pembelian tanah tersebut.

“Dengan menjangkakan kos pembiayaan empat peratus, pembayaran faedah daripada RM1.38 bilion yang digunakan untuk membeli tanah itu akan mencecah RM55 juta setahun,” katanya lagi.

“Bolehkah 1MDB memberikan penjelasan penuh tentang isu ini, bukan sahaja kerana ia melibatkan wang rakyat, malah ia memberi kesan kepada kehidupan hampir 3,000 keluarga yang bakal bermastautin di sana?,” katanya lagi. – Roketkini.com.