Rencana

Kebocoran UPSR gejala pendidikan Malaysia yang tenat

oleh: Aishah

“The great social importance of education is underscored, too, by the fact that when a society is shaken by a crisis, this often is taken as a sign of educational breakdown; education, and educators, become scapegoats.”

Inilah yang terjadi kepada pendidik iaitu guru-guru sekolah yang ditahan untuk disoal-siasat atas kegagalan bukan di peringkat pelaksana tetapi peringkat penggubal. Kegagalan sistem sedia ada ialah memaksakan beban ke atas guru dan pelajar dan bukannya menggalakkan proses berfikir. Krisis ini bukanlah isu kecil yang hanya boleh dilupakan dengan mengulang atau menangguh peperiksaan ke tarikh baru. Peranan pelaksana sangat penting dalam memberi inspirasi kepada murid-murid tetapi terganggu dengan sistem pendidikan yang tempang.

John Dewey yang mana hasil kerjanya merupakan titik penting dalam gerakan pendidikan progresif rakyat Amerika menyatakan setiap pelajar ialah individu yang mempunyai perkembangan tersendiri. Guru mempunyai tugas membimbing dan memudahkan perkembangan ini, tanpa memaksakan matlamat sepanjang proses pembelajaran berlangsung.

Malaysia Education Blueprint 2013 – 2025

Kebocoran kertas soalan dalam peperiksaan utama sering berlaku dan kali ini kertas peperiksaan Sains bagi Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR). Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dilaporkan memohon maaf kepada ibu-bapa dan murid terbabit dalam UPSR berhubung kertas soalan yang didapati bocor itu dan mengatakan ia sesuatu yang malang.

Dengan meminta maaf atas kejadian yang dianggap malang ini, ia tidak mampu memperbaik mutu pendidikan yang semakin merudum. Pendidikan yang diukur dengan pencapaian ‘A’ dalam setiap peperiksaan utama juga nampaknya “indah khabar daripada rupa” kerana sistem sedia ada bukanlah bermotif ‘pendidikan’ melainkan ‘peperiksaan’. Seperti diterangkan lebih awal, pendidikan tidak bermula dan terhenti di institusi-institusi.

Pendidikan bukan sahaja di sekolah dan universiti tetapi juga di rumah, tempat ibadah, kedai kopi dan sebagainya. Pendidikan di Malaysia dimulakan dengan sistem hafalan di sekolah-sekolah pondok hinggalah kedatangan British, dikenalkan dengan sistem pendidikan berteraskan bahasa Inggeris yang meminggirkan kelas bawahan Melayu. Pasca-kemerdekaan, sistem pendidikan di Malaysia masih lagi meneruskan sistem vernakular dan mewujudkan aliran sekolah kebangsaan ke arah “perpaduan nasional”.

Kita baru sahaja meraikan kemerdekaan negara yang ke-57. Malangnya pendidikan di Malaysia yang berusia lebih lama daripada itu diharapkan untuk membaiki antaranya penggunaan bahasa Melayu dalam kalangan pelajar dalam tempoh 13 tahun (mengikut Malaysia Education Blueprint 2013 – 2025).

Bukan itu sahaja, Malaysia juga jauh ketinggalan dari segi pencapaian – walaupun kita mampu menamakan sejumlah program yang dilaksanakan di peringkat rendah, menengah dan tinggi. Data di bawah menyokong kenyataan ini. Peruntukan yang dilaburkan tidak setimpal dengan hasil dan pencapaian malah melebihi negara-negara lain yang lebih maju dalam pendidikan. Ini bukan sahaja menandakan ketidakcekapan mengurus perbelanjaan negara malah tidak membaiki akar masalah sistem pendidikan di Malaysia.

ash01

 

Yang harus kita tanyakan ialah secara dasarnya adakah Malaysia dapat membezakan pendidikan (education) dengan persekolahan (schooling). Dan selagi ini belum mampu terjawab, masyarakat kita tidak dapat menikmati akses pendidikan terbaik.

ash02

 

ash03