Rencana

Reformasi perlu diteruskan

 

oleh: Mahdzir Ibrahim

Ketika rencana ini ditulis, Azmin Ali telah dinobatkan sebagai Menteri Besar Selangor yang ke-15 menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim. Namun, perkara ini tidak begitu menarik minat saya untuk mengulasnya.

Yang lebih menjadi tumpuan saya ialah persoalan bagaimana Selangor boleh menjadi model terbaik kerajaan Pakatan Rakyat yang bercita-cita menawan Putrajaya. Malah sebenarnya cita-cita ini jugalah yang mendatangakan huru-hara pentadbiran politik negeri Selangor.

Saya ingin berbicara dalam konteks amalan demokrasi, sejauh mana idea reformasi mampu membuka lebih banyak ruang demokrasi dengan cita-cita memperkukuh sistem politik awam khususnya di negeri selangor.

Perkara pokok dalam tugas Azmin pastilah perkara-perkara yang tertangguh atau menjadi kontroversi dalam pentadbiran Tan Sri Khalid, itu tak saya nafikan. Itu semua tugas dan cabaran rutin bagi penggantinya. Perlu buat dan tak perlu banyak songeh, selesaikan segera.

Namun demikian – menolak bingkai cabaran politik dalam tempoh 3 atau 4 tahun dari sekarang, ada baiknya juga kita fikirkan bagaimana dengan pentadbiran yang baru, idea baru dapat disuntik demi memperkemas dan memperkukuh sistem demokrasi diperingkat Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Pulau Pinang masih bergelut untuk mendapat kebenaran bagi mengadakan Pilihanraya Kerajaan Tempatan bagi memilih Ahli Majlis PBT. Terkini Mahkamah Persekutuan telah menolak permohonan kerajaan negeri untuk tujuan itu.

Kelihatan seperti usaha ini menemui jalan buntu, dalam aspek perundangan pastinya ia berkaitan dengan kuasa kerajaan persekutuan yang dilihat hampir mustahil untuk mereka benarkan.

Namun usaha memperkukuh demokrasi menerusi PBT tidak patut terhenti di tahap itu sahaja, saya fikir mungkin ada ruang lain yang boleh dicuba secara berperingkat-peringkat.

Antaranya pemilihan Datuk Bandar yang khusus melibatkan PBT Majlis Perbandaran atau Majlis Bandaraya, bukan Majlis Daerah yang diketuai oleh Yang Dipertua.

Mengapa majlis bandaraya? Kerana majlis perbandaran ini peranannya sangat kritikal dalam memastikan pembangunan negeri terus lancar dan mapan. Isu-isu penting seperti pelupusan sampah, kebersihan, keselamatan, isu perumahan, pengangkutan awam dan penyelenggaraan infrastruktur menjadi cabaran besar kepada sebuah negeri bandar seperti Selangor.

Bagi melaksanakan polisi-polisi yang dibuat oleh kerajaan negeri yang mana polisi-polisi ini juga dibuat oleh parti politik yang memerintah negeri, idea polisi itu harus benar-benar difahami oleh Datuk-Datuk Bandar. Tanpa memahami idea dari polisi ini, agak sukar bagi ketua PBT untuk melaksanakannya dengan cara yang lebih cepat, telus dan efisyen.

Justeru, persoalannya adakah mungkin kuasa pelantikan Datuk Bandar ini dikembalikan kepada kerajaan Negeri dengan kriteria-kriteria yang lebih ketat bagi memastikan ketua pendatdbir PBT yang dilantik di kalangan mereka yang dipercayai dan diyakini kebolehan serta kecekapannya oleh kerajaan negeri rakyat tempatan.

Ketika ini kuasa pelantikan Datuk-Datuk Bandar dibuat oleh Jabatan Perkhidmatan Awam, yang mana agensi ini dibawah kuasa kerajaan persekutuan.

Dilemanya wujud bila mana perbezaan politik antara kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri yang biasa terjadi boleh mendatangkan implikasi politik kepada ketua pendatbir PBT di peringkat pentadbiran awam dan lokaliti.

Jika kuasa ini dapat dikembalikan kepada kerajaan negeri yang memerintah, pastinya pemilihan ketua-ketua PBT ini dapat dibuat dengan lebih telus dan adil lagi malah rakyat tempatan dapat mengetahui dengan lebih dekat calon-calon ketua pentadbir PBT mereka.

Dengan maksud lain, banyak pihak boleh menyertai proses pelantikan ketua PBT khususnya PBT di kawasan bandar iaitu Majlis Bandaraya. Ini boleh menjadi fasa awal untuk memastikan akauntabiliti dilaksana.

Di peringkat perundangan pula, fokus hanya memerlukan pindaan beberapa akta, baik Akta 171 AKTA KERAJAAN TEMPATAN 1976 dan Akta 190 AKTA IBU KOTA PERSEKUTUAN 1960 untuk memindahkan kuasa tersebut. Saya yakin, negeri-negeri dan wilayah yang ditadbir oleh Barisan Nasional juga tidak mempunyai masalah berhubung perkara ini.

Tujuan utama reformasi Pakatan Rakyat ini adalah bagi memastikan pelan pembangunan diperingkat PBT dapat berjalan dengan lebih cekap, telus dan efisyen.

Jika ini dapat dibuat, bukan sahaja Selangor, tetapi peluang untuk membangunkan Malaysia dengan lebih maju dan cekap akan menjadi lebih cerah.

MAHDZIR IBRAHIM ialah Ahli Jawatankuasa Pemuda DAP (DAPSY) Kebangsaan. – Roketkini.com